Putrajaya beri pengimport sisa plastik tempoh tiga tahun


Noel Achariam

Putrajaya tidak akan menghentikan industri pemprosesan plastik yang bernilai berbilion dolar secara serta-merta. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 14 November, 2018.

PUTRAJAYA tidak akan menghentikan industri pemprosesan plastik yang bernilai berbilion dolar secara serta-merta, tetapi akan mengurangkan secara drastik pengeluaran permit import kepada hanya lapan daripada 114 syarikat kitar semula di seluruh negara.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin berkata antara kriteria untuk AP (Approved Permits) dikeluarkan ialah permohonan perlu berdasarkan kepada kualiti sisa plastik dan bukan plastik sampah.

Terdahulu dilaporkan bahawa kerajaan menghentikan pengeluaran AP sisa plastik sejak 23 Julai.

Zuraida berkata langkah itu susulan laporan tentang pencemaran yang serius di Kuala Langat dan beberapa kawasan lain di Selangor, berpunca daripada kilang haram memproses sisa plastik diimport

Bagaimanapun katanya, Putrajaya akan terus memberikan permit kepada pengimport yang mematuhi garis panduan dan kriteria ditetapkan oleh kerajaan.

“Saya mahu mengekalkan industri pemprosesan plastik di negara ini kerana ia bernilai RM30 bilion,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Beliau berkata syarikat yang memohon AP perlu mendapatkan kelulusan daripada Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) selain Jabatan Alam Sekitar.

Zuraida berkata walaupun mereka masih dibenarkan mengimport sisa plastik dari UK dan negara membangun lain, kerajaan hanya memberikan tempoh sehingga tiga tahun.

“Selepas itu, kita mahu menumpukan kepada industri kitar semula tempatan. Kami faham menyusun dan kitar semula belum sampai tahapnya lagi, jadi sebab itu kita beri tempoh tiga tahun.

“Kami juga perlu melihat sama ada plastik yang dihasilkan dalam negara boleh memenuhi jumlah perniagaan tempatan; jika tidak boleh, kami akan lanjutkan permit,” katanya.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin berkata antara kriteria untuk AP dikeluarkan ialah permohonan perlu berdasarkan kepada kualiti sisa plastik dan bukan plastik sampah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 November, 2018.

Zuraida berkata garis panduan dan kriteria baharu untuk pemohon akan dikeluarkan supaya mereka boleh kembali dan memohon AP.

“Kami menerima permohonan tetapi belum meluluskannya. Kami masih perlu menjalankan pemeriksaan sebelum meluluskan apa-apa.

“Kastam juga perlu memainkan peranan strategik dengan memeriksa plastik yang diimport.”

Katanya, pengimport juga akan dikenakan bayaran dan mereka yang tidak mematuhi garis panduan akan didenda.

“Pengimport sisa plastik akan perlu membayar levi RM15 setan barangan itu selain menghantar maklumat tentang punca sisa plastik itu.”

Sejak China mengharamkan import sisa plastik pada hujung 2017, Malaysia menjadi lokasi utama untuk sisa plastik dari UK dan negara membangun lain.

Pakar alam sekitar berkata ini menyebabkan jumlah loji kitar semula plastik secara haram meningkat yang membawa kepada masalah pencemaran alam sekitar di kawasan operasi mereka.

Mereka mendakwa kebanyakan plastik yang diimport tidak sesuai untuk dikitar semula dan akan dibuang atau dibakar oleh pusat kitar semula haram, dengan sebahagian kecil sisa itu akan diproses dan dijual semula ke dalam pasaran. – 14 November, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen