Klang dibanjiri pusat kitar semula haram


Yeoh Cheong Ee

Gudang menyimpan bahan buangan plastik kitar semula di Pulau Indah, Klang. Kebanjiran kilang memproses bahan buangan itu secara haram memberi kesan kepada penduduk di kawasan terbabit. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 14 November, 2018

SEJAK China mengharamkan import plastik buangan, Pulau Indah di Klang, Selangor menjadi salah satu tapak buangan bahan buangan plastik terbesar di rantau ini.

Aktivis alam sekitar Chiam Yan Tuan mendakwa, di kawasan perindustrian Sg Chandong sahaja, terdapat antara 30 hingga 40 kilang memproses bahan buangan, dan di sekitar West Port, Telok Gong dan di kawasan perindustrian Pandamaran.

“Kebanyakan kilang ini mula beroperasi sejak enam bulan hingga setahun lalu. Walaupun pihak berkuasa mengambil tindakan dan menutup operasi mereka, kilang terbabit tetap berdegil dan meneruskan perniagaan haram itu,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Malaysia menjadi salah satu pengimport utama bahan buangan plastik dari UK selepas China mengharamkan import kebanyakan bahan buangan kitar semula bermula tahun ini.

Baru-baru ini, Putrajaya mengharamkan 114 syarikat daripada mengimport bahan buangan itu, dan menutup banyak kilang haram di Selangor, selepas aduan berhubung pencemaran alam sekitar.

The Malaysian Insight baru-baru ini melakukan tinjauan di kawasan Sg Chandong yang terletak kira-kira 9 kilometer dari West Port, dan mendapati salah satu kilang yang ditutup sebelum ini beroperasi seperti biasa. 

Timbunan bahan buangan plastik kitar semula yang diimport ini mencacatkan pemandangan dan mencemar alam sekitar. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 14 November, 2018

Timbunan plastik kelihatan di kawasan berkenaan, dan bau bahan terbakar menyelubungi kawasan itu. Terdapat sebuah kontena besar bahan buangan di sebelah kawasan berkenaan.

Beg sampah besar yang tertera nama syarikat elektronik dan perindustrian luar negara turut berada di tepi bahan buangan itu.

Di kawasan perindustrian, terdapat banyak lot kedai yang dipenuhi bahan buangan, malah lorong belakangnya juga terhalang oleh sampah dan bahan buangan.

Chiam berkata terdapat notis oleh Majlis Perbandaran Klang (MPK) kepada salah satu kilang di Sg Chandong untuk menutup oprasi mereka, tetapi kilang berkenaan dilihat masih beroperasi seperti biasa.

“MPK sudah keluarkan notis menggantung operasi kepada kilang memproses bahan buangan itu pada 6 Ogos, tetapi pemilik premis itu berani menanggalkan notis dan meneruskan operasi,” katanya.

Pekerja di kilang terbabit enggan menjawab sebarang pertanyaan mengenai dari mana bahan buangan itu datang dan di mana bahan yang tidak boleh dikitar semua dibawa.

Chiam berkata, kilang haram ini memberi masalah besar kepada masyarakat di Klang, dan menambah beliau sendiri sudah banyak kali membuat aduan kepada MPK.

Timbunan bahan buangan plastik kitar semula yang diimport dari negara luar untuk diproses ditempatkan di sebuah gudang di Tekuk Gong, Klang. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 14 November, 2018 

“Pihak berkuasa menutup beberapa kilang di Blackwater di Parkland tetapi masih ada lagi kilang lain yang beroperasi di beberapa kawasan,” katanya kepada The Malaysian Insight.

“Saya merancang untuk membuat aduan sekali lagi kepada MPK. Ini memberi kesan kepada masyarakat di Klang dan tidak baik untuk alam sekitar.

“Terdapat juga pembakaran terbuka di Sg Jantung pada waktu malam. Di Teluk Gong, kita boleh hidu bau bahan kimia yang kuat datang dari kilang di sana.”

“Ini tidak baik kerana sebuah sekolah, SJK(C) Lee Min terletak di hadapan kilang berkenaan.”

China pernah menjadi pengimport terbesar bahan buangan kitar semula, namun sejak kerajaan mengharamkannya berkuatkuasa akhir 2017, lebih 700 tan bahan buangan dan lebih 1,700 loji pemprosesan di China dipindahkan ke luar negara.

Menurut data Pentadbiran Cukai dan Kastam UK, jumlah “bahan buangan asing” yang dihantar ke Malaysia dari UK meningkat tiga kali ganda dalam tempoh setahun.

Jumlah import bagi empat bulan pertama tahun ini mencecah jumlah import bagi sepanjang tahun. – 14 November, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen