BERLIAN merah jambu 19 karat yang jarang ditemui dijual pada harga AS$50 juta di pusat lelong di Geneva semalam, menurut Christie, menetapkan rekod baru jualan setiap karat bagi batu permata jenis itu.
Pink Legacy yang pernah menjadi milik keluarga Oppenheimer yang selama berdekad menguruskan syarikat perlombongan berlian De Beers, dibeli oleh jenama mewah Amerika Syarikat, Harry Wilson, sebahagian daripada kumpulan Swiss Swatch.
“AS$2.6 juta per karat. Itu rekod dunia bagi berlian merah jambu,” kata ketua Christie di Eropah, Francois Curiel.
“Permata ini bagi saya seperti Leonardo da Vinci,” katanya.
Permata itu kemudian dinamakan semula sebagai “Winston Pink Legacy” oleh pemilik barunya.
Ketua barangan kemas Christie, Rahul Kadakia menyifatkan Pink Legacy sebagai “satu antara berlian terhebat dunia”.
Berlian berpotongan segi empat tepat itu digredkan sebagai “sangat menarik” – gred tertinggi untuk keamatan warna.
Berlian itu ditemui di lombong di Afrika Selatan kira-kira seabad lalu dan mungkin dipotong pada 1920 dan tidak pernah diubahsuai sejak itu, kata Christie. – AFP, 14 November, 2018.
Komen