Buat apa jadi menteri kalau takut wartawan


Zainal Rashid Ahmad

SUDAH kerap sangat wartawan mengadu mengenai trend menteri mengelak menjawab soalan. Ini trend baharu selepas enam bulan kerajaan Pakatan Harapan (PH) berkuasa.

Tentulah penat dan letih wartawan membuntuti tugasan menteri di majlis rasmi mencari jawapan bagi isu-isu semasa yang punya kepentingan awam. Namun, kerap berakhir dengan kekecewaan. Terutama ketika wartawan memerlukan jawapan berhubung isu panas.

“Menteri sekarang asyik mengelat. Asyik melarikan diri kalau ada isu panas. Mereka akan pura-pura sibuk dan segera bergegas meninggalkan majlis,” rungut wartawan senior yang hampir 20 tahun bertugas di lapangan.

Hari ini, komen dan rungutan terhadap sikap pelik menteri-menteri kerajaan PH bukan isu baru. Sejak timbul pelbagai isu kontroversi, jemaah menteri tiba-tiba seperti sedang mengalami kejutan pasca trauma. Sikap dan watak mereka jadi fobia dan mulai takut untuk menghadapi soalan-soalan kritikal wartawan.

“Kita berdepan dengan ramai menteri yang mulai bersikap play safe. Tidak mahu komen dan suka melarikan diri bila berdepan oalan kritikal media massa,” kata editor senior yang mula pening kepala.

Sikap pasif begini menimbulkan kesukaran kepada wartawan yang bertugas sebagai mata-mata rakyat. Wartawan tidak kira jenis apa pun medianya, sentiasa dalam proses mencari maklumat.

Kalau menteri asyik melarikan diri, apa yang hendak dilaporkan kepada rakyat? Apa bahan liputan yang ada nilai maklumat kalau menteri asyik melesapkan diri selepas acara rasmi.

“Menteri kata, lapor saja semua yang berkaitan dengan acara rasmi. Tiada soalan lain!”

Wah! Bongkak bunyinya.

Apa yang ditakutkan sangat sekali pun perlu menjawab soalan isu semasa yang kritikal. Bukankah rakyat perlukan maklumat dan jawapan?

Kalau menteri merasmikan kilang sabun, mustahil isu sabun jadi berita utama. Mustahil menteri berasa bangga dengan laporan menteri dan acara sabun. Mustahil ini berita penting untuk 32 juta rakyat Malaysia.

Enam bulan membentuk kerajaan, PH harus menerima hakikat kewujudannya sebagai kerajaan. Menjadi kerajaan tidak enteng macam menjadi pembangkang. Menjadi kerajaan bererti PH penjaga rakyat jelata. PH melalui menteri-menterinya ialah ayah bonda pada setiap warga.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad sejak 3 pagi pada10 Mei lalu, mengambil sikap berdepan dengan berani, berkeyakinan tinggi, positif dan pragmatik ketika menangani soalan demi soalan semua wartawan. Ini katalis watak PH sebaik saja menang PRU14.

Malah, bukan puluhan orang. Dr Mahathir pada malam kemenangan PH, sedang berdepan ratusan wartawan dari dalam dan luar negara.

Ada nampak Dr Mahathir mengelat? Ada nampak sikapnya yang hanya memilih soalan untuk dijawab? Tidak!

Bermula pada awal pagi 10 Mei, selepas menang PRU14, Dr Mahathir menjadikan indikasi kepimpinan PH ialah berdepan secara total dan tuntas dalam menangani semua soalan wartawan.

Ada menteri PH yang sampai level menyakitkan hati. Ketika ditanya wartawan, dengan sikap kurang bijak dan tidak berhemah menjawab secara sarkastik: “Ambil saja jawapan pada laman Twitter saya!”

Apa kelas menteri kategori ini? Diberi jawatan menjaga 32 juta warga merdeka pada era pembaharuan, Twitter dijadikan lidah rasmi kerajaan.

Kalau sejak awal Dr Mahathir tahu, Kabinetnya akan bersifat media sosial, tentu PM tidak pening kepala memikirkan senarai jemaah menteri. Tidak perlu sebulan untuk pengumuman kalau setakat mencari menteri Twitter.

Kebanyakan wartawan tidak kira media massa kerajaan atau pro pembangkang harus disantuni dengan bijak. Menteri tidak boleh jadi kecut perut dan hidup dalam trauma. Menteri tidak boleh menjadikan Kabinet dilihat sedang mengalami sindrom fobia media.

Enam bulan sudah lama. Bayi yang lahir pada pagi 10 Mei pun sudah boleh bersuara. Kalau sihat, sudah tentu sekarang pandai meniarap dan berinteraksi dengan orang di sekelilingnya.

Justeru, menteri kena segera tumbuh matang dan dewasa. Media massa tidak selalu akan menjadikan anda popular.

Ada ketika wartawan akan menyebabkan anda sakit kepala. Namun, itu bukan bererti anda patut melarikan diri daripada berdepan realiti. Menteri orang bijak. Justeru, mesti ada wibawa dalam menangani media massa dan isu-isu kritikal dan kontroversi.

Menteri bukan artis. Jangan cari dan gunakan media massa untuk mengejar populariti sahaja. Wartawan mengejar anda demi kerja. Wartawan bukan tukang gosip dan kakasan menteri untuk jadi popular.

Wartawan mengejar menteri untuk menjawab semua isu yang berkaitan dengan kepentingan warga dan negara.

Menteri boleh saja bersikap prejudis dengan sengaja melabel politiking pada media tertentu, tetapi sebagai menteri, isu utama ialah mesti menjawab isu-isu membabitkan rakyat yang dikemukakan wartawan.

Menteri boleh sahaja memperlekehkan wartawan. Macam kata pegawai kanan seorang menteri di Parlimen ketika menterinya diburu wartawan:

“Melampaulah media massa ni!”

Tetapi kalau menteri pun berfikir secetek pegawainya, susahlah kerajaan. – 14 November, 2018.

* Zainal Rashid Ahmad ialah wartawan dan penulis sastera yang telah menghasilkan antaranya novel Hikayat Tanah Jauh (2015) dan kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014), Magis Kota (2016), Pop Urban (2017), dan kumpulan puisi Sepi Itu Mati (2016) dan Orang Sepi Pergi ke Gurun (2018). Beliau memenangi 38 hadiah sastera.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Ada menteri yg sejak tak ada jawatan kerajaan tak mau jawab cal wartawan. Dah dpt jawatan di selangor pun sama. Sekarang tentu tak berubah. Agaknya salah tun mahathir pilih dia

    Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Rizuan abdul rahman · Ulasan