KETUA hak asasi manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Selasa mendesak Bangladesh menghentikan rancangan penghantaran pulang lebih 2.200 Muslim Rohingya ke Myanmar, ketika laporan kekejaman terhadap minoriti itu berterusan.
Pihak berkuasa Bangladesh merancang menghantar pulang pelarian Rohingya, yang melarikan diri sebagaimana disebut PBB sebagai pembersihan etnik.
Ia menimbulkan panik di kem, menyebabkan beberapa keluarga yang menjadi antara kumpulan pertama dihantar pulang melarikan diri, menurut pemimpin masyarakat.
“Kami menyaksikan keganasan dan panik di kalangan pelarian Rohingya di Cox’s Bazar yang berkemungkinan dihantar pulang ke Myanmar sebagai bertentangan dengan kehendak mereka,” kata Pesuruhjaya Tinggi PBB untuk Hak Asasi Manusia Michelle Bachelet dalam satu kenyataan.
“Dengan paksaan mengusir atau menghantar pulang pelarian dan pencari suaka ke negara asal mereka akan menjadi pelanggaran jelas prinsip utama undang-undang non-refoulement, yang melarang penghantaran balik ke negara yang terdapat ancaman penganiayaan atau risiko serius terhadap nyawa dan integriti fisikal atau kebebasan individu,” katanya.
Lebih 725,000 umat Islam Rohingya melarikan diri dari negara barat Rakhine Myanmar berikutan tindakan keras tentera dari Ogos tahun lepas, membawa cerita tentang pembunuhan, rogol dan penyeksaan.
Mereka menyertai 300,000 pelarian Rohingya yang sudah tinggal di beberapa kem di tenggara Bangladesh selama bertahun-tahun.
Kebanyakannya menyaksikan pembunuhan anggota keluarga dan pembakaran rumah dan kampung mereka, kata pejabat hak asasi PBB, sambil menambah mereka terus menerima laporan mengenai pelanggaran hak asasi manusia yang berterusan terhadap Rohingya yang masih berada di Rakhine.
Walaupun para pelarian berulang kali mengatakan bahawa mereka tidak mahu kembali, kira-kira 2,260 daripadanya dijadualkan memasuki Myanmar dari daerah Cox’s Bazar dalam kumpulan penghantaran pertama bermula Khamis.
PBB menegaskan beberapa keluarga pelarian yang tersenarai untuk pulang diketuai oleh wanita atau kanak-kanak.
“Beberapa pelarian mengancam bunuh diri jika mereka terpaksa pulang ke tanah air, dan dua orang lelaki tua di Cox’s Bazar cuba membunuh diri,” kata pejabat hak tersebut.
Bachelet menegaskan “pelanggaran hak asasi manusia yang dilakukan terhadap Rohingya di Myanmar adalah kekejaman terburuk, termasuk jenayah terhadap kemanusiaan dan mungkin juga pembunuhan beramai-ramai.” – AFP, 13 November, 2018.
Komen