Turki tidak sembunyi maklumat kes bunuh Khashoggi


Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan berkata rakaman audio kes pembunuhan Jamal Khashoggi turut dimaklumkan kepada Arab Saudi, Amerika Syarikat, Perancis, Kanada, Jerman dan Britain. – Gambar EPA, 13 November, 2018.

TURKI tidak menyembunyikan sebarang maklumat berkaitan pembunuhan wartawan Arab Saudi, Jamal Khashoggi, kata Presiden Recep Tayyip Erdogan.

Katanya, rakaman audio kes itu turut dimaklumkan kepada Arab Saudi, Amerika Syarikat, Perancis, Kanada, Jerman dan Britain, lapor Xinhua  memetik media Turki pada Selasa.

Rakaman audio itu amat “mengerikan” dan terdapat spekulasi mengatakan seorang daripada pelaku mungkin menggunakan heroin.

“Turki sabar menunggu maklum balas daripada pihak berkuasa Arab Saudi mengenai pembunuhan itu,” katanya kepada pemberita sejurus tiba dari Paris.

Pihaknya juga akan terus mengikuti perkembangan kes itu dan mahu nama individu yang bertanggungjawab didedahkan secepat mungkin, kata Erdogan.

Khashoggi penulis ruangan Washington Post dan sering mengkritik kerajaan Arab Saudi, dipercayai dibunuh sebaik memasuki konsulat negara itu di Istanbul pada 2 Oktober. – Bernama, 13 November, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen