Penjawat awam bergelut teruskan kehidupan


Sheridan Mahavera

MEREKA golongan paling mudah terjejas. Statistik menunjukkan kira-kira 20% daripada isi rumah di Malaysia tergolong dalam kategori ini, di mana gaji diperoleh hampir tidak mampu bertahan sehingga ke hujung bulan dan perbelanjaan luar jangka menyebabkan mereka berhutang.

Sukar membayangkan senario ini dalam negara yang boleh dikatakan senang dan mewah tetapi bagi penjawat awam Jaafar*, ia realiti harian: menunggu empat anaknya selesai makan malam sebelum beliau pula makan sisa lauk ikan atau ayam.

Situasi yang sama bagi pekerja penyelenggaraan majlis Kassim* berpendapatan RM2,700 sebulan. Bapa berusia 56 tahun itu tahu apa yang perlu dilakukan. Jika ikan dihidangkan, beliau hanya mendapat kepala atau ekor. Jika ayam menjadi hidangan, hanya leher atau kaki menjadi miliknya. Bahagian berdaging dikhaskan untuk isteri dan lima anaknya.

Kassim memberitahu The Malaysian Insight beliau sering kehabisan wang lima hari sebelum bulan berakhir. Jika terdapat kecemasan seperti motosikal rosak, semua perancangan bulanan akan terjejas. Mereka yang mempunyai sumber lebih baik boleh menggunakan simpanan, seperti Tabung Haji. Yang kurang pula hanya mampu meminjam.

Ini bukan anekdot. Ia kehidupan peringkat rendah penjawat awam di Lembah Klang, yang mengatakan rezeki dengan gaji semakin sukar dengan kos sara hidup yang meningkat.

Hidup di bahagian bawah sentiasa menjadi cabaran tetapi dengan harga barangan semakin meningkat 4.3% pada Februari, usaha mencukupkan wang menjadi lebih sukar.

Menurut Cuepacs, 60% daripada 1.05 juta penjawat awam mendapat RM3,000 atau kurang sebulan.

Walaupun skandal rasuah menjadi tajuk utama, ketidakupayaan Barisan Nasional (BN) meningkatkan kesejahteraan isi rumah boleh menjejaskan gabungan itu pada pilihan raya umum akan datang.

Penjawat awam secara tradisinya terbukti menjadi kumpulan pengundi besar bagi BN tetapi ada kekecewaan ketara di kalangan mereka dengan kos sara hidup yang semakin meningkat serta keadaan buruk kewangan mereka.

Dalam temu bual dengan The Malaysian Insight, enam bekas dan kakitangan awam gred rendah memberitahu pengorbanan setiap hari yang terpaksa dilakukan dan bagaimana mereka bergelut bagi mencukupi perbelanjaan hidup.

Kisah mereka juga menunjukkan bagaimana kebergantungan isi rumah kepada Skim Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).

“BR1M membantu kami sekadar mencukupi sahaja. Saya menggunakannya untuk membayar tuisyen kolej anak perempuan saya. Ia bukan sesuatu yang mewah,” kata Karim, 63, yang bersara pada 2014 selepas bekerja lebih 25 tahun sebagai pembantu pejabat di sebuah kementerian persekutuan di Kuala Lumpur.

Karim berkata kekecewaan kerana terpaksa membayar peningkatan kos ubat untuk isteri dan memaksanya mempersoalkan janji BN untuk menjaga penjawat awam.

“Apabila GST (cukai perkhidmatan dan barangan) diperkenalkan, mereka berkata ubatan tidak akan dikenakan cukai. Mereka kata warga emas tidak perlu membayar jika ke klinik kerajaan. Tetapi saya membayarnya setiap kali saya pergi,” kata anak jati Kuala Lumpur yang isterinya mengalami “slipped disc”.

Walaupun elaun bulanan perumahan dinaikkan kepada RM300 pada 2015, kata kakitangan awam itu kepada The Malaysian Insight, apa sahaja tambahan yang diterima, disapu bersih dengan kenaikan harga barangan runcit.

Kenaikan harga makanan berlaku selepas pelaksanaan GST pada 1 April, 2015 dan kemerosotan nilai ringgit, kerana negara banyak bergantung kepada import makanan.

Pada 2015, negara membelanjakan RM45.4 bilion mengimport sayur, buah dan daging.

Laporan Jabatan Perangkaan menunjukkan indeks harga pengguna (CPI) komponen makanan dan minuman bukan alkohol, mencecah inflasi, meningkat dari Januari 2014 hingga Oktober 2016.

Ia berlaku walaupun harga petrol turun beberapa kali dalam tempoh itu selaras dengan harga minyak dunia.

Kurang membeli, kurang makan

Walaupun menerima kira-kira RM1,000 wang BR1M sejak 2012, keluarga seperti Zainal*, 52, berkata wang tambahan hanya menampung kos barangan runcit.

“Kami membelanjakan RM300 hingga RM400 untuk barangan runcit tetapi masih tidak mencukupi untuk bertahan sebulan,” kata Zainal, yang memperoleh RM2,300 sebulan sebagai tukang kebun dengan majlis tempatan di Selangor.

“Apabila gaji habis menjelang 25 haribulan, kami perlu mencari tempat lain untuk mendapatkan wang,” kata bapa kepada empat orang anak yang masih bersekolah.

“Syukurlah isteri saya memperoleh sedikit wang tambahan denggan upah menjahit dan menjaga bayi. Kadang-kala, anak-anak membantu tetapi tidak banyak.

“Apabila saya mula bekerja pada usia 19, gaji hanya RM300 sebulan, kini ia lebih RM2,000 tetapi saya masih berasa terpaksa bergelut.”

Unit Perancang Ekonomi melaporkan baru-baru ini pendapatan purata di Malaysia menurun sebanyak 15% daripada AS$10,345 pada 2013 kepada AS$8,821 pada 2016.

Pakar ekonomi Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas) Ali Salman berkata, penurunan mungkin disebabkan kejatuhan nilai ringgit, penurunan daya saing dan tiada konsistensi dalam dasar kerajaan, yang menangguhkan pelabur.

Ia menunjukkan pendapatan sederhana, kata Ali menimbulkan persoalan sama ada Malaysia masih mampu mencapai status negara berpendapatan tinggi menjelang 2020.

Tidak kira betapa sempit kewangan, semua yang ditemubual berkata mereka berjaya menyediakan tiga hidangan sehari untuk anak-anak, tidak pernah terkurang walaupun sehari.

Tetapi separuh daripada bapa itu menyatakan mereka terpaksa mengurangkan makan bagi memastikan bekalan makanan keluarga mencukupi untuk anak-anak.

“Jika kami makan ikan, saya hanya makan bahagian ekor atau kepala sahaja,” kata Kassim.

“Jika makan ayam, saya hanya makan leher atau kaki. Semua bahagian berdaging, saya msimpan untuk anak-anak dan isteri.”

Jaafar, 46, berkata: “Saya hanya makan apa sahaja yang tinggal di meja selepas anak-anak makan. Ia satu perkara yang baik kerana saya tidak banyak makan.”

Beliau mempunyai tiga anak remaja dan seorang yang baru memasuki tadika.

Gusar melalui tempoh persaraan

Kecuali Jaafar, semua yang ditemuramah bergantung kepada BR1M dan layak menerima bentuk bantuan lain, seperti buku teks subsidi untuk anak-anak tetapi mendakwa ia tidak diagihkan secara sekata.

Kassim, pekerja penyelenggaraan, berkata anak perempuannya yang dalam tingkatan empat tidak layak menerima skim subsidi buku teks tahun ini, walaupun menerimanya tahun lepas.

Beliau dan Zainal juga memberitahu terpaksa membayar air setiap bulan walaupun tinggal di Selangor, di mana kerajaan negeri menyediakan 20 meter padu air percuma kepada setiap isi rumah sejak 2008.

Kassim berkata, beliau dan penduduk lain di kuarters kerajaan negeri di mana mereka tinggal sudah membawa perkara ini kepada pihak pengurusan tetapi tiada tindakan diambil.

Pesara Karim, 63, membayar bil perubatan di hospital kerajaan untuk merawat masalah jantung dan sakit belakang isterinya, walaupun ada mengatakan warga emas akan mendapat rawatan perubatan percuma.

“Di televisyen, mereka berkata warga emas dan pesara tidak perlu membayar untuk ubatan tetapi saya masih perlu membayar apabila ke hospital kerajaan,” kata bekas kerani itu.

Karim dan jirannya, Rahman, 64, juga pesara, bimbang tentang menampung peningkatan kos makanan, utiliti dan bil perubatan dengan pencen mereka yang sedikit.

Tiga anak Karim sudah berpindah dan memulakan kerjaya serta keluarga mereka sendiri, tetapi juga sedang bergelut dengan hidup.

“Apabila saya meminta bantuan daripada anak-anak, mereka memberi saya wang. Tetapi mereka juga akan meminta bantuan kewangan saya. Akhirnya, ia sama sahaja dan saya tidak mempunyai sebarang wang tambahan.”

Fenomena meniti usia tua dan miskin adalah risiko sebenar bagi keluarga lain, memandangkan kini mereka tidak memperoleh pendapatan mencukupi untuk menyimpan bagi menghadapi persaraan dan lebihan sedikit yang ada diketepikan untuk digunakan semasa kecemasan.

“Saya tahu ramai mengatakan kami perlu menyimpan bagi hari persaraan. Saya cuba tetapi ia tidak mencukupi. Saya tidak mempunyai sebarang simpanan persaraan,” kata Zainal, yang bekerja sebagai tukang kebun.

Beliau mengakui bimbang apabila bakal bersara dalam tempoh lapan tahun lagi dengan pencen kecil untuk hidup.

“Kini, saya hanya perlu terus memberikan terbaik kepada anak-anak semampu yang boleh dan menyerahkannya kepada takdir.” – 1 April, 2017.

(* Semua nama kakitangan awam ditukar kerana mereka tidak dibenarkan bercakap kepada media tanpa kelulusan kerajaan.)


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen