SEKURANG-KURANGNYA enam penduduk Palestin terbunuh manakala 20 lagi cedera dalam serangan udara berterusan Israel ke atas Semenanjung Gaza, yang bermula pada petang Isnin, lapor agensi berita China Xinhua memetik kenyataan pegawai perubatan pada Selasa.
Ashraf al-Qedra, jurucakap Kementerian Kesihatan di Gaza, memaklumkan pemberita bahawa dua penduduk terbunuh pada pagi Selasa dalam serangan udara berasingan di utara Semenanjung Gaza dan timur bandar Gaza manakala tiga lagi dalam serangan udara pada Isnin malam.
Mangsa keenam meninggal dunia akibat kecederaan yang dialami pada petang Isnin dalam satu serangan udara Israel di timur pekan Rafah di selatan Semenanjung Gaza, katanya.
Angka kematian akibat serangan udara Israel ke atas Gaza sejak Ahad meningkat kepada 13 orang, semuanya adalah anggota kumpulan militan dengan 30 lagi cedera, kata al-Qedra.
Sejak petang Isnin, pesawat pejuang Israel memusnahkan lapan bangunan di seluruh Semenanjung Gaza, termasuk bangunan TV al-Aqsa, kawasan keselamatan Ansar dan ibu pejabat keselamatan dalam negeri al-Amal.
Media Israel dan Palestin melaporkan lebih 350 roket ditembak dari Semenanjung Gaza ke arah Israel manakala Israel telah melancarkan lebih 100 serangan udara ke atas kemudahan ketenteraan Gaza, kediaman dan bangunan milik Hamas.
Terdahulu, Abu Oneida, jurucakap Briged al Qassam yang merupakan sayap bersenjata Hamas, menyalahkan kepimpinan Israel untuk “semua yang berlaku di Ashkelon.” – Bernama, 13 November, 2018.
Komen