MENTERI Luar Sri Lanka yang baharu, Sarath Amunugama, berkata kerajaan akan mematuhi keputusan Mahkamah Agung berhubung isu pembubaran awal Parlimen negara itu, lapor agensi berita China Xinhua memetik media tempatan pada Selasa.
Bercakap kepada pemberita di ibu negara Colombo, Amunugama berkata Perdana Menteri Ranil Wickremesinghe yang dipecat mempunyai hak untuk meminta nasihat Mahkamah Agung berhubung langkah pembubaran awal Parlimen, namun mengkritik beliau kerana mencetuskan ketidakstabilan politik di negara pulau itu.
“Kami akan tunggu dan lihat. Kerajaan tidak mempunyai masalah dengan perkara ini. Apabila terdapat pertentangan antara eksekutif dan legislatif, maka badan kehakiman perlu memberi nasihat. Ini adalah cara yang tepat,” kata beliau.
Beberapa parti politik termasuk Parti Bersatu Kebangsaan yang dipimpin Wickremesinghe, pembangkang utama Tamil National Alliance dan Janatha Vimukthi Peramuna, memfailkan satu permohonan di Mahkamah Agung pada Isnin bagi mencabar tindakan Presiden Maithripala Sirisena membubarkan Parlimen lebih awal minggu lepas.
Mereka mendakwa Sirisena tidak mempunyai kuasa membubarkan Parlimen di bawah pindaan ke-19 perlembagaan dan memohon Mahkamah Agung untuk mengeluarkan satu perintah yang membatalkan warta yang dikeluarkan oleh presiden itu dan menggantung pilihan raya Parlimen akan datang sehingga satu keputusan diumumkan.
Mahkamah Agung dijangka mengumumkan keputusan berhubung perkara itu minggu ini.
Dalam satu warta khas pemberitahuan yang dikeluarkan Jumaat lepas, Sirisena telah mengisytiharkan 5 Jan 2019 sebagai tarikh pilihan raya kilat bagi Parlimen dalam usaha menyelesaikan pergolakan politik sejak beberapa minggu lepas, yang meletus apabila Wickremesinghe dipecat daripada jawatan beliau sebagai perdana menteri dan digantikan dengan bekas presiden Mahinda Rajapakse.
Tindakan mendadak Sirisena membubarkan Parlimen dibuat setahun setengah lebih awal daripada tarikh pengundian dijadualkan berlangsung. – Bernama, 13 November, 2018.
Komen