Zunar saman polis kerana rampasan dan tahanan salah


Melati A. Jalil

Zunar (dua dari kiri) bersama peguamnya N Surendran (kiri) dan Melissa Sasidaran (kanan) di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini memfailkan saman terhadap 20 defendan termasuk ketua polis negara dan kerajaan Malaysia.– Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 16 Ogos, 2017.

KARTUNIS Zulkiflee Anwar Ulhaque yang lebih dikenali sebagai Zunar memfailkan saman hari ini terhadap anggota polis yang terlibat dalam penahanan salah dan rampasan bukunya ketika majlis kutipan dana di Kuala Lumpur tahun lepas.

Peguamnya N. Surendran berkata yang saman itu bertujuan untuk menghantar mesej kepada pihak berkuasa yang Zunar tidak akan lagi bertolak-ansur kepada gangguan dan serbuan berterusan yang terjadi kepadanya.

Zunar menamakan 20 defendan antaranya, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Dang Wangi Gunalan Muniandy, pegawai polis Mohamad Ridzuan Samsudin, 16 anggota polis yang terlibat dalam serbuan berkenaan dan ketua polis negara serta kerajaan Malaysia.

“Sekiranya di masa depan Zunar ada mengadakan pameran lain, sesiapa yang cuba berkelakuan (menyerbu dan menahan) begini, sama ada polis atau sesiapa sahaja kami akan mengheret anda ke mahkamah dan anda perlu menjawab (sebab tindakan) anda di mahkamah.

“Tidak akan ada lagi tolak ansur kepada tindakan salah terhadap seseorang yang salahnya hanyalah menjadi pengkritik pihak berkuasa. Ini adalah hak demokratik semua rakyat Malaysia,” kata Surendran kepada wartawan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Pada 17 Disember tahun lepas, polis menyerbu majlis Zunar, “Tea with Zunar” di Dewan Perhimpunan Cina Selangor Kuala Lumpur.

Selain merampas 1187 buah buku dan 103 helai T-shirt yang sepatutnya dilelong dan dijual, Zunar juga ditahan. Penahanan itu berlaku tidak sampai sebulan selepas dia ditahan di Pulau Pinang kerana menganggu keamanan mengikut Kanun Keseksaan dan Akta Hasutan.

“Asas saman ini adalah penahanan dan pemenjaraan salah Zunar oleh polis, rampasan salah harta Zunar iaitu buku dan T-shirtnya.

“(Serta mengakui) Kecuaian di pihak polis dan kegagalan (polis) untuk melaksanakan kewajipan statutori mereka, dan Zunar juga meminta pengisytiharan yang haknya di bawah Perlembagaan Persekutuan- kebebasan bersuara dan mengeluarkan pemikiran dicabul polis dan kerajaan Malaysia apabila mereka bertindak sedemikian (menyerbu dan menahannya),” kata Surendran, menambah yang semua serbuan dan tahanan Zunar sebelum ini tidak sah di sisi undang-undang.

Untuk majlis kutipan dana itu, Zunar disiasat di bawah Seksyen 124c Kanun Keseksaan kerana aktiviti yang memudaratkan demokrasi berparlimen.

Dalam saman itu, Zunar mendesak polis memulang semua buku dan kemeja-T yang dirampas, selain meminta bayaran kerosakan khas berjumlah RM22,388 iaitu jumlah kos keseluruhan buku dan t-shirt tersebut.

Zunar berkata penahanan dan serbuan itu tidak ada asas perundangan kerana majlis itu diadakan di tempat persendirian.

“Saya tak perlukan permit atau keizinan kerana program itu tidak haram.

“Semua buku dan kemeja-T yang dirampas tidak diharamkan kerajaan.

“Jadi apa asas polis menahan saya?” katanya. – 16 Ogos, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen