TIMBALAN Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail hari ini berkata kerajaan akan menyemak semula hukuman mati ke atas pembunuh kanak-kanak berukutan tragedi pembunuhan bayi sembilan bulan di Bangi minggu lalu.
Beliau yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, dadah terutamanya methamphetamine memainkan peranan besar dalam kes kematian ini.
“Ini adalah satu jenayah yang kejam seperti yang saya katakan, kami membincangkan dengan PDRM tentang bagaimana untuk menyingkirkan masalah ini, dadah, terutamanya methamphetamine telah menyebabkan semua pembunuhan kanak-kanak ini.”
“Hukuman mati adalah salah satu perkara yang akan dibincangkan,” kata Wan Azizah selepas mengadakan lawatan ke Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Bukit Aman.
Kenyataannya itu berikutan kematian seorang bayi yang dipercayai didera secara fizikal dan seksual oleh suami kepada pengasuhnya.
Pengasuh dan suaminya itu telah ditahan oleh polis.
Bayi berkenaan yang didakwa dirogol, diliwat dan didera oleh suspek lelaki, meninggal dunia pada Sabtu.
Ketua Polis Kajang ACP Ahmad Dzaffir Mohd Yussof dilaporkan berkata, bedah siasat yang dijalankan oleh jabatan patologi Hospital Serdang mendapati mangsa meninggal dunia akibat “hentakan benda tumpul di kepala” yang mana tempurung kepala bayi malang itu retak.
“Ujian air kencing mendapati lelaki terbabit positif dadah jenis methamphetamine,” tambahnya.
Dalam pada itu, Dr Wan Azizah berkata kerajaan juga akan berusaha untuk menambah baik unit D11 kerana jabatan itu sudah lama tidak dinaik taraf.
“Saya datang melawat dan diberi taklimat berhubung keadaan. Saya akan menulis kepada Menteri Dalam Negeri mengenai bagaimana kita mahu naik taraf unit ini yang menjaga golongan yang lemah seperti wanita dan kanak-kanak untuk diberi perlindungan. Ia tidak dinaik taraf sejak sekian lama.”
“Kini jumlah kes melebihi 11,000 kes setahun. Jumlah ini merupakan sebab mengapa mereka perlu dinaik taraf,” katanya. – 13 November, 2018
Komen