KETUA Polis Negara Khalid Abu Bakar memberi amaran kepada kumpulan Ateis di negara ini supaya tidak menimbulkan kegelisahan rakyat terutama umat Islam.
“Perlembagaan kita mengiktiraf agama Islam sebagai rasmi negara dan (perlembagaan) kita tak sebut mengenai orang yang tidak menganut agama.
“Ateis ini mereka yang tidak menganut apa-apa agama jadi kita akan kaji peruntukan yang ada,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Serah Terima Tugas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik di Bukit Aman hari ini.
Dilaporkan sebelum ini pihak berkuasa menyiasat golongan Ateis di Malaysia selepas kumpulan Atheist Republic, sebuah organisasi berpangkalan di Kanada pada minggu lalu memuat naik gambar perhimpunan mereka termasuk bersama orang Melayu di media sosial.
“Jadi saya ingin menasihatkan kumpulan Ateis ini, jangan cuba timbulkan perkara menggelisahkan rakyat Malaysia terutama orang Islam yang menentang orang tak menganut agama. Jangan bangkitkan rasa resah gelisah dengan aktiviti mereka.
“Saya bagi amaran pada mereka. Jangan ingat mereka boleh bergerak sesuka hati. Mereka kena tengok undang-undang,” katanya.
Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) berkata ia akan mengambil tindakan jika benar umat Islam menghadiri acara tersebut.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Shahidan. Kassim menggesa Jawi dan pihak berkuasa agama lain memburu mereka “untuk memulihkan keimanan mereka”. – 16 Ogos, 2017.
Komen