SEEKOR anak singa ditemui dalam sebuah kereta mewah di Champs-Elysees di Paris, petang semalam, kata sumber, dalam insiden terbaru membabitkan kes haiwan itu disimpan sebagai haiwan peliharaan.
Anak singa itu ditemui di dalam sebuah Lamborghini yang disewa ketika polis membuat pencarian di jalan yang terkenal sebagai lokasi beli-belah barangan mewah itu, menurut sumber.
Pemandu kereta mewah terbabit ditahan dan anak singa berkenaan sedang dirawat.
Bulan lalu, seekor anak singa berusia enam minggu ditemui dalam satu serbuan di sebuah pangsapuri di pinggir Paris dan pemiliknya dijatuhi hukuman penjara enam bulan.
Ketika perbicaraan, pendakwa raya berkata penemuan itu bukan kes terpencil dan siasatan dijalankan menemui tiga lagi anak singa dijadikan haiwan peliharaan di pinggir ibu kota itu.
Dalam satu insiden berasingan pada Oktober, seekor anak singa yang kecil ditemui dalam garaj kereta di Marseille.
Anak singa betina itu berumur antara sebulan dan dua bulan, diserahkan kepada pakar yang bekerja di pusat perlindungan haiwan liar. – AFP, 13 November, 2018.
Komen