Tidak ada pasukan pujuk ahli Umno masuk Bersatu, kata Muhyiddin


Asila Jalil

BERSATU tidak mempunyai pasukan gerak khas untuk menarik ahli Umno menyertainya, kata Presiden Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin berkata mereka yang keluar Umno dan menyertai Bersatu bertindak sendiri.

“Tidak ada pasukan gerak khas ditubuhkan Bersatu untuk mendekati mereka.

“Jika ada ahli Umno yang berhasrat menyertai kami, tidak kiralah daripada (kepimpinan) pusat, bahagian atau cawangan, itu semua pilihan mereka,” katanya kepada wartawan di lobi Parlimen hari ini.

Muhyiddin mengulas kenyataan Annuar Musa semalam apabila setiausaha agung Umno itu yang mendakwa ramai ahli Parlimen dan Adun Umno dipikat pihak luar untuk menyertai parti lain.

Muhyiddin yang juga ahli Parlimen Pagoh berkata Bersatu terbuka kepada orang awam untuk disertai sama ada ahli Umno atau bukan, selagi mana mereka sanggup terlibat dalam perjuangan parti.

“Jadi ia tidak betul. Ia bergantung kepada sesiapa sahaja (untuk sertai parti).

“Kita tidak ada pasukan gerak khas untuk galakkan ahli Umno sertai Bersatu. Itu tak pernah jadi rancangan,” katanya.

Annuar sebelum ini berkata beliau berdepan masalah besar untuk mengekalkan ahli Umno dalam parti.

Kenyataan itu dikeluarkan selepas Adun Guar Chempedak, Kedah, Ku Abdul Rahman Ku Ismail mengumumkan keluar parti dan jadi wakil rakyat bebas. – 13 November, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen