Maszlee atur mesyuarat dengan PM untuk baiki sistem pendidikan


Asila Jalil

Menteri Pendidikan Maszlee Malik berkata beliau mengatur satu mesyuarat antara Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad, Majlis Penasihat Akademik Negara dan Jabatan Dasar Pendidikan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 November, 2018.

SATU mesyuarat dijadualkan diadakan antara Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad, Majlis Penasihat Akademik Negara dan Jabatan Dasar Pendidikan berkenaan baik pulih sistem pendidikan, kata Menteri Pendidikan Maszlee Malik.

Maszlee berkata beliau mengatur mesyuarat itu tetapi tidak memberikan tarikhnya.

“Saya perlu mendapatkan Majlis Penasihat Akademik Negara yang kami lantik dua bulan lalu untuk turut serta. Kami juga perlukan Jabatan Dasar Pendidikan.

“Saya sudah aturkan mesyuarat dengan Tun untuk mendengar aspirasi beliau dan apa yang beliau benar-benar mahu daripada kami,” kata Maszlee kepada wartawan di lobi Parlimen hari ini.

Semalam di Singapura, Dr Mahathir dilaporkan berkata beliau mahu Maszlee membaik pulih sistem pendidikan yang “teruk”.

Dr Mahathir berkata demikian pada satu majlis minum petang dengan rakyat Malaysia di Singapura. Beliau ketika itu ditanya mengenai pendapatnya tentang sistem pendidikan Malaysia.

“Sistem pendidikan sekarang teruk. Ia perlu diperbaharui. Apa yang mereka belajar bukan apa yang mereka sepatutnya belajar,” katanya.

“Kita perlu ubah kurikulum dan jadual tentang apa yang mereka belajar di sekolah.”

Maszlee berkata beliau ada mesyuarat dengan Dr Mahathir minggu lalu di mana beliau diminta membaik pulih sistem pendidikan.

“Saya terkejut Tun mengumumkannya sebelum kami dapat mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai perkara itu,” katanya, menambah pihaknya gembira Dr Mahathir proaktif terhadap perkara itu.

Katanya, Dr Mahathir juga fokus kepada memperbaharui budaya dan sikap dengan menyemai nilai baik.

“Jadi beliau minta saya meneruskan perjuangannya. Pada mesyuarat minggu lalu Tun berkata ‘tolong teruskan perjuangan saya untuk ubah minda rakyat Malaysia, jadikan mereka lebih rajin dan ada nilai baik, seperti orang Jepun’,” kata Maszlee. – 13 November, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen