POLIS menahan tiga lagi suspek berhubung insiden kekecohan forum “Nothing to Hide 2.0” Ahad lalu di Shah Alam menjadikan kesemua yang ditahan setakat ini 13 orang, kata Khalid Abu Bakar.
Ketua Polis Negara bagaimanapun tidak mengulas lanjut latar belakang atau identiti tiga suspek terbaru itu.
“Kita sudah tangkap 13 orang sehingga pagi ini berkaitan kekecohan pada majlis ‘Nothing to Hide 2.0’,” katanya selepas Majlis Serah Terima Tugas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik di Bukit Aman hari ini.
The Malaysian Insight awal hari ini melaporkan polis menahan 10 suspek setakat malam tadi dan sedang mempergiatkan usaha memburu dalang huru-hara itu.
Siasatan awal mendedahkan beberapa remaja yang terlibat dibayar RM50 untuk memulakan kekacauan pada majlis itu, dengan membaling kasut dan membakar suar ke arah pentas, tempat Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Dr Mahathir Mohamad berucap.
Dalam kekecohan itu, mereka juga kemudiannya membaling kerusi ke arah hadirin.
Keadaan jadi huru-hara dan menimbulkan rasa panik sehingga ramai peserta forum berlari ke luar dewan untuk menyelamatkan diri. Beberapa individu lain dipercayai cedera ringan akibat terjatuh ketika menyelamatkan diri selain berlaku kejadian bertumbuk sesama sendiri.
The Malaysian Insight difahamkan susulan penahanan tiga remaja selepas huru-hara itu, polis Selangor memburu sampai ke Kangar, Perlis untuk menahan suspek yang terlibat.
Mereka disiasat mengikut Seksyen 15(2)(d) Akta Perhimpunan Aman 2012, Seksyen 153 Kanun Keseksaan kerana merusuh serta Seksyen 8 Akta Bahan Kakisan Letupan dan Senjata Berbahaya. – 16 Ogos, 2017.
Komen