150 maut pertempuran di Yaman


Gabungan pasukan kerajaan diketuai Arab Saudi dilaporkan berusaha mengusir pemberontak Huthi dari bandar Laut Merah yang menjadi keperluan penting kepada 14 juta penduduk Yaman yang berdepan risiko kebuluran. – Gambar EPA, 13 November, 2018.

SEKURANG-KURANGNYA 150 terbunuh dalam tempoh 24 jam susulan pertempuran di bandar pelabuhan Yaman di Hodeida, serentak dengan kunjungan diplomat kanan Britain ke Teluk untuk meraih perhatian antarabangsa berhubung gencatan senjata.

Gabungan pasukan kerajaan diketuai Arab Saudi dilaporkan berusaha mengusir pemberontak Huthi dari bandar Laut Merah iaitu penyambung hayat kepada 14 juta penduduk Yaman yang berdepan risiko kebuluran.

Ditanya mengenai kemungkinan mewujudkan gencatan senjata, jurucakap pasukan gabungan memberitahu wartawan di Riyadh bahawa operasi masih berjalan dan ia diadakan bagi mendesak pasukan pemberontak untuk bersetuju mengadakan rundingan.

Seorang penduduk Hodeida melaporkan, pertempuran semakin sengit menjelang petang semalam namun Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres memberi amaran suasana akan berubah menjadi malapetaka jika pelabuhan berkenaan musnah.

“Pertempuran ini mesti dihentikan, debat politik perlu bermula dan kita harus bersedia dengan bantuan kemanusiaan besar-besaran untuk mengelakkan keadaan lebih teruk tahun depan,” katanya.

Sumber pasukan gabungan berkata kumpulan pemberontak melancarkan serangan skala besar yang disasarkan kepada pelabuhan itu sejak 2014.

Dalam satu kenyataan menerusi aplikasi Telegram, puak Huthi berkata mereka mengumpan pasukan kerajaan ke bahagian barat perairan Hodeida sebelum melancarkan serangan. – AFP, 13 November, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen