ROSMAH Mansor dijangka didakwa pada Khamis ini dipercayai berkaitan dengan salah guna dana awam berkaitan projek tenaga solar untuk sekolah di pendalaman Sarawak.
Peguamnya, Geetham Ram Vincent mengesahkan beliau akan hadir di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada pagi Khamis.
Bagaimanapun, beliau enggan menjelaskan butiran pertuduhan terhadap isteri bekas perdana menteri Najib Razak itu.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) baru-baru ini memanggil Najib untuk soal siasat di Putrajaya berkaitan projek tenaga solar di Sarawak itu.
Najib menafikan soal siasat itu berkaitan projek tersebut menerusi akaun Twitternya.
Projek tenaga solar yang bernilai RM1.25 bilion itu dianugerahkan kepada syarikat berpangkalan di Bintulu, Jepak Holdings atas arahan Najib, dakwa Sarawak Report dalam laporan diterbitkan Jun lalu.
Syarikat itu dilantik pada 2016 untuk membekalkan diesel, menyelia generator dan menyediakan tenaga solar kepada 369 sekolah. Sejak Jun lalu, SPRM sudah menahan dua orang eksekutif syarikat tersebut dan seorang peguam. Pembantu Najib, Rizal Mansor turut ditahan berkaitan siasatan menerima suapan daripada syarikat tersebut.
Rosmah awal bulan ini ditahan SPRM selepas memberi keterangan berkaitan pengubahan wang haram dan dikenakan 17 pertuduhan. Beliau mengaku tak bersalah dan dibebaskan dengan ikat jamin. – 13 November, 2018.
Komen