Bangunan stesyen TV Hamas musnah diserang Israel


Bangunan stesyen TV Al-Aqsa musnah diserang Israel semalam, tiada kecederaan dilaporkan.

SERANGAN udara Israel memusnahkan bangunan stesyen TV Al-Aqsa milik Hamas di Tebing Barat semalam selepas beberapa siri tembakan amaran dilepaskan, lapor wartawan AFP yang menambah kejadian itu menyebabkan wujud ancaman keras militan Palestin.

Serangan itu berlaku ketika keganasan antara Israel dan Palestin di Gaza semakin tegang.

Hamas mengesahkan bangunan di Bandar Gaza itu musnah, dan Islamic Jihad berikrar membalas tindakan Israel itu.

Tiada kecederaan dilaporkan kerana pekerja dipercayai sudah mengosongkan bangunan selepas tembakan amaran dilepaskan.

Stesyen itu mula bersiaran langsung tidak lama selepas serangan dari kawasan tidak didedahkan.

Tentera Israel mengaku menyerang bangunan itu dalam kenyataan yang berbunyi “ia menyumbang kepada tindakan ketenteraan Hamas, termasuk menyebarkan mesej kepada militan, mengarahkan dan secara terbuka menyokong aktiviti keganasan terhadap Israel dan menyediakan panduan untuk melaksanakan tindakan tersebut”.

Katanya, stesyen tersebut “milik dan digerakkan Hamas”.

Pada awal Isnin juga, tentera udara Israel menyerang Gaza, membunuh tiga orang penduduk Palestin dan mencederakan sembilan yang lain selepas roket dilancarkan ke negara itu dari Gaza.

Kekecohan berlaku selepas operasi pasukan khas Israel di Tebing Gaza pada Ahad yang menyebabkan Hamas berjanji untuk membalas dendam.

Tentera berkata sebuah bas Israel diserang sebuah peluru berpandu dilancarkan dari Tebing Gaza menyebabkan kecederaan. Seorang tentera juga cedera parah, katanya lagi.

Pasukan perubatan melaporkan sekurang-kurangnya enam penduduk Israel cedera selepas beberapa rumah dan bangunan awam terkena serangan roket.

Kenyataan bersama daripada pasukan militan Palestin di Gaza termasuk Hamas mengaku bertanggungjawab atas pelancaran roket dan peluru berpandu ke atas bas tersebut, yang didakwanya digunakan tentera Israel.

Katanya, serangan itu adalah balas dendam terhadap operasi Israel pada Ahad yang menyebabkan kematian. – AFP, 13 November, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen