Qatar pertimbang tawaran Iran jadi penganjur bersama Piala Dunia 2022


Iran baru-baru ini menawarkan diri untuk menjadi penganjur bersama Qatar untuk Piala Dunia empat tahun lagi. – Gambar EPA, 13 November, 2018.

QATAR mempertimbangkan tawaran dari Iran untuk menjadi penganjur bersama Piala Dunia 2022, tetapi masih belum membuat keputusan, kata ketua jawatankuasa penganjur kepada AFP semalam.

Iran baru-baru ini menawarkan diri untuk menjadi penganjur bersama Qatar untuk Piala Dunia empat tahun lagi.

“Ini adalah sebahagian daripada rancangan operasi, tetapi jelas sekali ia perlu dilakukan dengan Fifa,” kata Ketua Penganjur Hassan Al Thawadi kepada AFP sama ada perlawanan boleh dilakukan di Iran.

Tambahnya, Qatar sudah menerima “pelbagai cadangan dari pelbagai negara berkaitan penganjuran” untuk Piala Dunia yang akan mula bermula pada 21 November 2022.

“Tidak ada keputusan mengenai perkara itu lagi dan ia masih dalam perbincangan,” katanya.

Sebarang langkah menerima tawaran Iran itu akan menguntungkan negara Islam itu ketika Amerika Syarikat cuba mengasingkannya di peringkat antarabangsa.

Ia juga boleh mencetuskan kontroversi dalam kalangan negara Teluk.

Sejak 2017, Arab Saudi, Bahrain, Emiriah Arab Bersatu dan Mesir mengenakan sekatan embargo ke atas Qatar yang pernah jadi sekutu rapat mereka menuduhnya menjalinkan hubungan rapat dengan Iran dan menyokong kumpulan pelampau Islam.

Qatar menafikan semua dakwaan itu, menuduh negara jirannya cuba mengubah kerajaannya.

Al Thawadi berkata beliau berharap negara jiran Qatar akan membatalkan sekatan menghalang rakyat mereka berkunjung ke Qatar sempena Piala Dunia.

Rancangan asal negara itu dalam bidaannya menjadi tuan rumah termasuklah menggunakan kemudahan di negara Teluk lain.

“Saya harap negara yang menyekat boleh menilai nilai kejohanan utama ini dan membenarkan rakyat mereka mendapat manfaat,” katanya.

Ditanya mengenai sama ada Qatar bersedia meningkatkan jumlah pasukan di Piala Dunia Qatar kepada 48 seperti dicadangkan Fifa, Al Thawadi berkata mereka masih merancang menggunakan jumlah pasukan asal iaitu 32.

“Persediaan kami sekarang adalah untuk 32 pasukan, format semasa. Semua persediaan berasaskan jumlah tersebut,” katanya.

“Wujud kajian kebolehlaksanaan yang sedang dilakukan sekarang untuk pertandingan 48 pasukan dan keputusan perlu diambil oleh Fifa dan kami selaku tuan rumah,” tambahnya.

Menambah 16 pasukan lagi boleh merumitkan persediaan Qatar yang diberikan hak penganjuran pada 2010.

Presiden Fifa Gianni Infantino minggu lepas menolak kemungkinan 48 pasukan bertanding pada 2022, berkata ia adalah “cabaran besar”. – AFP, 13 November, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen