Legenda Marvel, Stan Lee meninggal dunia


Stan Lee pencipta adiwira Avengers termasuklah Spider-Man, Thor dan Iron Man meninggal dunia pada usia 95 tahun. – Gambar AFP, 13 November, 2018.

LEGENDA Marvel Stan Lee yang merevolusikan budaya pop sebagai pengasas banyak watak adiwira terkenal seperti Spider-Man dan The Hulk yang kini mendominasi layar perak dunia sudah meninggal dunia. Beliau berusia 95 tahun.

Lee, wajah kepada budaya buku komik di Amerika Syarikat meninggal dunia awal pagi semalam di Los Angeles selepas menderita sakit sejak beberapa tahun lepas.

“Dengan berat hati, kami mengucapkan takziah kepada anak perempuan dan adiknya,” kata Marvel Comics dan pemiliknya, The Walt Disney Company dalam satu kenyataan.

“Kami akan sentiasa menghormati dan mengenang pencipta, suara dan juara Marvel…setiap kali anda buka komik Marvel, Stan akan berada di sana.”

Lee yang berasal dari New York dan terkenal dengan imej berkaca mata dan senyum sumbingnya menjadi pelukis komik secara kebetulan, kerana jasa bapa saudaranya yang mendapatkan beliau pekerjaan sejak remaja sebagai budak pejabat yang tugasnya hanyalah remeh seperti mengisi dakwat dan membuat kopi untuk pelukis lain.

“Saya rasakan satu hari nanti saya akan tulis ‘Great American Novel’ dan saya tak mahu guna nama sebenar di komik picisan yang tak berapa bijak itu,” kata Lee, menjelaskan mengapa beliau tidak menggunakan nama sebenarnya, Stanley Lieber.

Lee kemudiannya mendaki tangga pekerjaan untuk menjadi penulis komik- membuatkan jutaan orang bermimpi tentang alam adiwira dan manusia luar biasa ciptaannya- dan menerajui empayar Marvel berdekad lamanya selaku penerbit.

Daripada Spider-Man sehingga Black Panther kepada X-Men dan Fantastic Four, Lee bekerjasama dengan penulis dan pelukis lain yang merealisasikan imaginasinya dalam komik.

Kemudian diikuti dengan Iron Man, Thor dan Doctor Strange yang kini adalah francais filem bernilai ratusan juta dolar mendapat sambutan seluruh dunia.

Lee turut membuat penampilan istimewa dalam hampir semua filem dalam Marvel Cinematic Universe- termasuklah sebagai pemandu bas dalam filem terbaru Marvel, Avengers: Infinity War yang menyatukan banyak watak rekaannya.

“Saya pernah rasa malu kerana saya hanyalah seorang pelukis komik sedangkan orang lain bina jambatan atau kerja perubatan,” kata Lee.

“Dan kemudiannya saya mula sedar: hiburan adalah salah satu perkara penting dalam kehidupan manusia. Tanpanya, mereka mungkin akan sengsara.”

Dilahirkan pada 28 Disember 1922 kepada pendatang Yahudi yang berhijrah ke AS dari Romania, Lee mendapat kerja pertamanya sebagai pembantu pada usia 17 tahun di Timely Comics dan mula membina kerjayanya.

Selepas berkhidmat sebagai tentera AS pada Perang Dunia Ke-2, Lee kembali ke industri komik bekerjasama dengan pelukis Jack Kirby pada 1960-an untuk mencipta Fantastic Four dan Spider-Man.

Kerjasama itu berlanjutan berdekad lamanya- Kirby si pelukis digelar “The King” dan Lee si penulis adalah “The Man.”

Mereka berdua mencipta kaedah baharu untuk bercerita, dengan watak adiwira yang punya kelemahan tersendiri dan tema cerita serius- tetapi masih mengekalkan elemen tradisi adiwira menakjubkan. Cerita mereka malah menunjukkan penjahat pun ada karakter dan perasaan yang mendalam.

Lee dan rakan kerjasamanya mula mencipta watak komik yang mendapat sambutan hebat dan pada 1960-an beliau mengambil alih Marvel- mencipta “Marvel Universe”- semua adiwira wujud pada masa yang sama dan cerita seringkali berkait antara satu sama lain.

Model ceritanya itu sekarang digunapakai Hollywood- yang akan mengeluarkan filem ke-21, Captain Marvel pada Mac tahun depan.

Lee secara rasmi meninggalkan Marvel pada 1990-an tetapi kekal sebagai pengerusi emeritus. Beliau adalah wajah jenama tersebut, memberikan syarahan dan berucap di persidangan komik.

“Ayah saya sayangkan semua peminatnya,” kata anak perempuannya JC kepada portal berita hiburan TMZ.

“Beliau adalah lelaki terbaik dan terhebat.” – AFP, 13 November, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen