Juruterbang Air India gagal ujian kesan alkohol, lesen batal 


Semua juruterbang dan anak kapal dilarang mengambil minuman keras dalam 12 jam sebelum mula bertugas. – Gambar EPA, 12 November, 2018.

LESEN seorang juruterbang dibatalkan hari ini selepas gagal melepasi ujian pengukur kandungan alkohol dalam pernafasan sebelum menerbangkan pesawat Air India ke London, kata pihak berkuasa penerbangan India.

Melalui ujian itu, Arvind Kathpalia, seorang juruterbang dan eksekutif kanan di syarikat penerbangan nasional itu didapati positif di bawah pengaruh alkohol sebelum memasuki kokpit pesawat Dreamliner bagi penerbangan selama 10 jam ke United Kingdom semalam.

“Dia gagal dalam ujian pernafasan dan berdasarkan peraturan kami putuskan untuk membatalkan lesennya selama tiga tahun dengan serta-merta,” kata seorang pegawai.

Kathpalia katanya pernah dikenakan larangan selama tiga bulan pada tahun lepas kerana gagal ujian mengesan alkohol dalam pernafasan.

Semua juruterbang dan anak kapal dilarang mengambil minuman keras dalam 12 jam sebelum mula bertugas.

Kathpalia menafikan tuduhan itu dan berkata ia adalah kempen yang dilancarkan pesaing untuk merosakkan namanya, lapor media tempatan.

Lebih daripada 150 juruterbang dari pelbagai syarikat penerbangan di India gagal dalam ujian pengukur kandungan alkohol dalam pernafasan sepanjang empat tahun lepas. – AFP, 12 November, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen