MAAF kalau ini sinis, tetapi kita pernah saksikan semua ini.
Nama besar atau ikan jerung ditahan kerana rasuah. Orang bersorak gembira. Kerajaan dalam sekelip mata dijulang sebagai pejuang melawan rasuah.
Tetapi kita pernah tengok semuanya sebelum ini. Ternampak semacam ada skrip apabila nama seperti Eric Chia, Ramli Yusof, Isa Samad, Ling Liong Sik, Chan Kong Choy dan nama lain yang bagai melukut di tepi gantang ini didakwa atau berdepan tuduhan rasuah atau salah guna kuasa.
Tindakan itu lazimnya berbetulan dengan dua keadaan: apabila seorang pemimpin baru naik dan pemimpin itu mahu menggilap nama sebagai seorang tokoh pembaharu.
Ini berlaku tidak lama selepas Abdullah Ahmad Badawi jadi perdana menteri pada penghujung 2003.
Beliau cukup sedar betapa beliau perlu menonjolkan cara kepimpinan dan pentadbiran yang berbeza dengan Dr Mahathir Mohamad. Oleh itu, beliau berikrar akan menangani amalan rasuah yang sudah membarah.
Supaya rakyat percaya beliau mengotakan apa yang dikata, bekas pengarah urusan Perwaja Steel Sdn. Bhd Eric Chia ditangkap dan didakwa pecah amanah.
Wau! Tidak pernah terbayangkan. Seorang tokoh yang dikaitkan dengan kegagalan sebuah projek ikonik dan sejak sekian lama dianggap tergolong dalam kelompok yang dilindungi akhirnya terpaksa juga berdepan dengan pengadilan.
Media arus perdana melompat dan mengangkat Abdullah sebagai tokoh penyelamat Malaysia.
Cuba teka apa jadi?
Lama selepas Abdullah menang pilihan raya umum dengan mandat yang luar biasa pada 2004, Chia dibebaskan. Berita itu tidak tersiar di muka depan.
Tindakan tegas yang diharapkan ke atas ikan jerung terdiri daripada ahli politik, penjawat awam dan tokoh korporat jadi mimpi di siang hari.
Tidak ada tindakan terhadap ahli politik yang hidup bermewah-mewah melampaui kemampuan sebenar. Tidak ada.
Tindakan pentadbiran Abdullah terhadap bekas ketua jabatan siasatan jenayah Ramli Yusoff atas dakwaan rasuah juga berakhir dengan pembebasan.
Tetapi kerajaan mana-mana pun di dunia jarang peduli tentang apa penyudahnya sebarang usaha melawan rasuah ini. Mereka kemaruk tajuk berita dan mabukkan sorak sorai yang terdengar menyambut apa yang mereka lakukan.
Mereka percaya betul orang selalu kagum dengan tindakan yang dimulakan dan tidak mengikuti kes itu sampai penamat.
Ahli politik tahu apabila rakyat sedar selama ini mereka tertipu, mereka sebenarnya sudah dipengaruhi oleh tindakan ke atas ikan jerung untuk memberikan sekali lagi kemenangan dalam pilihan raya.
Apabila Najib Razak jadi perdana menteri pada 2009, beliau juga berikrar akan bertindak tegas membasmi rasuah. Kusut masai dalam Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) menghidangkan peluang terbaik untuk menonjolkan kesungguhannya menangani rasuah.
Bekas presiden Ling Liong Sik dan Chan Kong Choy diheret ke mahkamah. Kedua-duanya kemudian dibebaskan. Tidak ada seorang pun yang dihukum atas kerugian yang dialami oleh PKFZ.
Bagaimana pula dengan masalah paling besar yang jarang diperkatakan orang, 1Malaysia Development Berhad (1MDB)?
Adakah sesiapa di 1MDB yang disoal siasat berjam-jam, digari dan ditahan reman lima hari seperti exco Pulau Pinang Phee Boon Poh hanya kerana surat menghentikan tindakan terhadap sebuah kilang haram?
Hakikatnya nyata. Orang yang boleh dikorbankan akan ditangkap, diarak, malah mungkin didakwa dan dalam banyak keadaan, kalau pun tidak semua, akhirnya dibebaskan sekiranya didakwa. – 16 Ogos, 2017.
Komen