Pilihan raya Bangladesh ditunda 30 Disember 


Seorang wanita Bangladesh menunjukkan jariny yang ditanda dakwat pada pilihan raya Bangladesh 2014. Pilihan raya negara itu yang sepatutnya berlangsung pada 23 Disember ini ditunda ke 30 Disember.– Gambar EPA, 12 November, 2018

PILIHAN raya Bangladesh yang dijadual diadakan pada 23 Disember ditunda ke 30 Disember, demikian umum Suruhanjaya Pilihan Raya negara itu pada Isnin. 

Ketua suruhanjaya itu KM Nurul Huda mengumumkan perkara tersebut ketika menghadiri sebuah program di Dhaka.

Beliau turut menyambut baik keputusan gabungan pembangkang untuk bertanding pada pilihan raya itu, lapor agensi berita Xinhua.

Pembangkang utama diketuai bekas Perdana Menteri Khaleda Zia dari Parti Kebangsaan Bangladesh (BNP) menggesa suruhanjaya menangguhkan tarikh pilihan raya selama sebulan.

Setiausaha Agung BNP, Mirza Fakhrul Islam Alamgi berkata gabungan mereka memutuskan bertanding dalam pilihan raya parlimen dan mendesak kerajaan memastikan ia dijalankan dengan bebas, adil dan neutral.

Parti Perdana Menteri Bangladesh, Sheikh Hasina yang memperolehi kemenangan pada pilihan raya 2009 dan memenangi penggal kedua pada 2014, bakal dicabar BNP dan sekutunya Khaleda Zia, yang memboikot pilihan raya 2014. – Bernama, 12 November, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen