Putrajaya akan kaji undang-undang haramkan e-sisa, kata Zuraida


Noel Achariam

Menteri Perumahan dan Kerajaan TempatanZuraida Kamaruddin mengulas cadangan Pulau Pinang untuk mengharamkan import e-sisa dan bahan buangan plastik untuk mengawal industri pemprosesan sisa dan melindungi alam sekitar serta demi kesihatan rakyat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 November, 2018.

PULAU Pinang boleh mengharamkan import e-sisa di peringkat negeri tetapi perlu berunding dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Menterinya, Zuraida Kamaruddin berkata kementerian perlu mengkaji undang-undang mengenainya terlebih dahulu.

“Jika perlu, maka mereka (Pulau Pinang) perlu memohon dan kita akan kaji dahulu,” katanya selepas merasmikan “Tun Fatimah Hashim Lead Conference” di Putrajaya hari ini.

Zuraida mengulas cadangan Pulau Pinang untuk mengharamkan import e-sisa dan bahan buangan plastik untuk mengawal industri pemprosesan sisa dan melindungi alam sekitar serta demi kesihatan rakyat.

Exco alam sekitar negeri Phee Boon Poh berkata Pulau Pinang terpaksa menolak buangan perbandaran dari luar kerana terdapat lebih 200 kilang memproses plastik kitar semula secara haram di negeri ini.

Malaysia boleh memanfaatkan e-sisa seperti negara lain yang menggunakannya untuk membina jalan raya, kata Zuraida.

“Jadi ini merupakan salah satu bidang yang kita sedang teliti (untuk kitar semula),” katanya.

Phee berkata kerajaan negeri perlu mendapatkan persetujuan kerajaan Persekutuan kerana AP (permit yang diluluskan) dan Jabatan Kastam berada di bawah bidang kuasa Persekutuan jika mahu melarang kemasukan sisa buangan plastik ke Pulau Pinang.

Terdapat 27 kilang dengan AP untuk mengimport sisa plastik ke Pulau Pinang, kata Phee.

Beliau juga mencadangkan kerajaan mengenakan lebih banyak kawalan ke atas perniagaan pemprosesan sisa plastik dengan mewujudkan zon khas untuk kegiatan tersebut. 

Zon itu katanya perlulah berdekatan dengan tapak pelulupusan sampah seperti Pulau Burung di selatan Seberang Prai dan jauh daripada kawasan perumahan. – 12 November, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen