PEMANGKU ketua pembangkang Sabah Jeffrey Kitingan bertikam lidah dengan Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah Ahmad Abdul Rahman selepas beliau cuba membentangkan bajet alternatif pembangkang.
Perbahasan pemimpin Parti Solidariti Tanah Airku terganggu beberapa kali oleh wakil rakyat kerajaan, mendorong Ahmad untuk mengarahkan Jeffrey berhenti atau dia akan diarah keluar dari Dewan.
Adun Panginatan, Abidin Madingkir adalah yang pertama membidas Jeffrey.
Wakil rakyat Pertubuhan Pasok Momogun KadazanDusun Murut Bersatu (Upko) memohon perintah dari timbalan speaker untuk sesi itu meneruskan perbahasan bajet ketua menteri, bukan bajet alternatif pembangkang.
Ahmad memetik Peraturan Tetap 43 (1) untuk menghentikan perbahasan Jeffrey.
“Kamu boleh membuat kenyataan kepada media atau mengkritik, tetapi jangan bentangkan bajet alternatif kamu kerana Peraturan Tetap tidak membenarkan kamu melencong dari perbahasan hari ini.
“Kamu boleh membuat kenyataan tetapi bukan di sini atau semua orang akan bentangkan bajet mereka sendiri,” kata Ahmad.
“Ada banyak lagi perkara akan dibangkitkan. Sila tarik balik bajet alternatif kerana ia seolah-olah kerajaan tidak cekap.
“Saya perlu bersikap adil, tarik balik diri atau saya akan minta perkataan ‘alternatif’ dikeluarkan daripada hansard,” katanya.
Kitingan menolak dan ini mengakibatkan pertengkaran antara kedua-dua mereka yang berlangsung lebih dari 20 minit.
Ahmad berkata Jeffrey mempunyai “niat buruk” kerana cuba membangkitkan bajet alternatif, dan memberi amaran bahawa beliau akan mengarahkan pengawal untuk mengiringnya keluar Dewan.
Jeffrey terus mencabar Ahmad, dan menyatakan beliau berhak untuk bentangkan bajetnya.
Beliau akhirnya akur dan menarik balik perkataan “bajet” dari ucapannya tetapi terus membentangkan bajet alternatif.
Adun Kemabong, Jamawi Jaafar memetik Peraturan Tetap 4, dengan mengatakan bahawa wakil rakyat boleh membahaskan hanya ucapan bajet dan bukan perkara lain.
Ahmad bersetuju dan berkata bahawa masa Jeffrey sudah tamat dan terus memberi ruang kepada wakil rakyat lain.
Ini menyebabkan Jeffrey berang, dan menuduh Ahmad tidak berlaku adil.
Jeffrey berjaya menghabiskan perbahasan, tetapi tanpa sebahagian besar bajet alternatifnya. – 12 November, 2018
Komen