149 orang terbunuh dalam pertempuran 24 jam di Yaman 


Tentera kerajaan yang disokong Arab Saudi kini mara ke bandar Hodeida yang menjadi kubu pemberontak. – Gambar EPA, 12 November, 2018

SEKURANG-kurangnya 149 orang terbunuh dalam pertempuran selama 24 jam yang berlaku di bandar pelabuhan Hodeida, Yaman, menurut sumber pasukan perubatan dan tentera ketika tekanan antarabangsa semakin memuncak untuk gencatan senjata.

Penyokong kerajaan yang disokong pakatan diketuai Arab Saudi bertempur untuk menumbangkan pemberontak Huthi di bandar Laut Merah itu, yang mana ia menjadi talian hayat kepada 14 juta rakyat Yaman yang diancam kebuluran.

Sumber dalam pasukan pro-kerajaan berkata, pemberontak telah menggerakkan serangan berskala besar di bandar pelabuhan yang menjadi kubu mereka.

Pasukan tentera kerajaan, yang disokong tentera dari Emiriah Arab Bersatu, kini mara ke Hodeida selepas 11 hari bertempur, dan smapai ke kawasan kejiranan di timur bandar itu pada Ahad dan mencetuskan kebimbangan pertempuran di jalanan akan mengancam keselamatan orang awam yang terperangkap di bandar berkenaan.

Sumber penduduk dan tentera kerajaan melaporkan, penembak tepat ditempatkan di bumbung bangunan di kawasan kejiranan timur Hodeida, beberapa batu dari pelabuhan.

Koordinator Save the Children di Yaman, Mariam Aldogani berkata, rakyat negara itu di Hodeida kini hidup dalam ketakutan.

“Pertempuran berterusan, situasi sangat buruk,” katanya kepada AFP menerusi panggilan telefon.

Pertempuran di Hodeidan itu mencetuskan gesaan antarabangsa untuk gencatan senjata sejak konflik berlarutan selama empat tahun di Yaman. – AFP, 12 November, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen