Tak salah ucap terima kasih pada pengundi, kata Zuraida


Noel Achariam

Belum rasmi lagi, tetapi tak jadi masalah kalau Azmin ucap terima kasih pada pengundi, kata Zuraida Kamaruddin. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 November, 2018.

TIDAK ada salahnya Mohamed Azmin Ali mengucapkan terima kasih kepada pengundinya walaupun masih tiada keputusan rasmi memandangkan pemilihan PKR belum berakhir, kata Zuraida Kamaruddin.

“Saya nak ucapkan tahniah pada Azmin kerana menang. Belum rasmi lagi, tetapi tak jadi masalah kalau beliau ucap terima kasih pada pengundi.

“Saya tak nampak pun sebarang masalah,” kata Zuraida selepas merasmikan “Tun Fatimah Hashim Lead Conference” di Putrajaya hari ini.

Terdahulu, bakal Presiden PKR Anwar Ibrahim berkata Azmin perlu menghormati peranan Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) dalam proses pemilihan parti.

“Beliau ada hak tetapi beliau juga tahu yang akan umum ialah JPP dan kita perlu hormat proses,” beliau memberitahu pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Kenyataan Anwar merujuk kepada mesej terima kasih Azmin kepada ahli PKR di Twitter malam tadi yang dianggap pengumuman kemenangan sebelum pemilihan selesai.

“Alhamdulillah dan syukur. Terima kasih kepada semua anggota KEADILAN yang bersama membingkai muafakat untuk meneruskan agenda reformasi tulen,” kata Azmin.

Apabila ditanya jika beliau menang dalam pemilihan kali ini, Zuraida berkata itulah harapannya.

“Kita harap kepimpinan baru ini akan bawa perubahan dan kukuhkan parti.

“Kita juga perlu tangani dan perbaiki sebarang kelemahan dalam pentadbiran parti dari segi pendaftaran ahli.

Berkenaan kerjasama dengan kem lawan dalam parti, Zuraida berkata tiada isu mengenai perkara itu.

“Dalam pemilihan, semua orang akan bertanding. Jadi kita perlu bersikap profesional dan dendam peribadi kita letak ke tepi.

“Apabila melibatkan soal kerja kita kena pastikan parti ditadbir dengan baik dan dihormati.”

Keputusan tidak rasmi semalam menunjukkan Azmin memperoleh 68,843 undi berbanding Rafizi yang memperoleh 63,568 undi. Ini memberikan Azmin majoriti 5,275 setakat ini.  – 12 November, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen