Pakatan kena berhenti salahkan BN, kata Annuar


Asila Jalil

Annuar Musa bersetuju dengan pandangan Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan Daim Zainuddin, iaitu PH sekarang ini sepatutnya melupakan perkara yang lepas dan beri tumpuan kepada usaha untuk menunaikan janji-janji pilihan raya mereka. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 12 November, 2018.

KERAJAAN Pakatan Harapan (PH) tidak akan maju ke depan kalau berterusan menyalahkan Barisan Nasional (BN) atas semua masalah yang negara sedang hadapi, kata Setiausaha Agung Umno Annuar Musa.

Beliau bersetuju dengan pandangan Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan Daim Zainuddin, iaitu PH sekarang ini sepatutnya melupakan perkara yang lepas dan beri tumpuan kepada usaha untuk menunaikan janji-janji pilihan raya mereka.

Kata-kata Daim itu tepat dan mencerminkan keprihatinan bekas menteri itu terhadap kerajaan PH.

“Kalau terus salahkan kerajaan lama, (PH) tak akan maju ke depan,” Annuar memberitahu pemberitah di lobi Parlimen hari ini.

“Saya gembira dengan kenyataan itu kerana itu bermakna Daim ambil berat tentang prestasi kerajaan.”

Pada Khamis, Daim berkata PH harus memberi tumpuan untuk melaksanakan janji-janji dlama menifasto mereka daripada terus bercakap tentang perkara lepas.

Tambah beliau, komen Daim itu “sangat adil”.

“Dan saya rasa itu yang sepatutnya. Kerana pada akhirnya nanti kerajaan perlu deliver,” katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin memuji kenyataan Daim itu dan berkata PH perlu bersatu sebagai sebuah kerajaan menjelang ulang tahun pertama pentadbiran mereka Mei depan.

Tambah Khairy, rakyat kini semakin bosan dengan sikap kerajaan yang tidak berhenti menuding jari terhadap BN atas keadaan semasa negara.

“Kalau ada salah laku, ambil tindakan di mahkamah. Mereka sudahpun dakwa Najib (Razak) di mahkamah,” katanya. – 12 November, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen