TINDAKAN kem Mohamed Azmin Ali yang terlalu awal mengumumkan kemenangannya sebagai timbalan presiden PKR disifatkan sebagai kurang matang dan mungkin kerana terlalu teruja, kata Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Beliau berkata keputusan masih belum diketahui kerana pengiraan undi masih belum berakhir.
“Alhamdulillah mereka masih dalam (suasana) bertanding. Kita tidak tahu (keputusan) sebab kita belum sampai ke penghujung (pemilihan).
“Kadang-kadang dia teruja dan seronok (sebab menang),” katanya kepada media selepas melancarkan Kejohanan Badminton Pasukan Campuran Bawah 15 Tahun Pertama Asia di Kuala Lumpur, hari ini.
Semalam kem Azmin mengumumkan kemenangan dan mengucapkan tanda terima kasih di media sosial.
Penyokong kem Azmin mengumumkan kemenangan dengan menyiarkan poster calon ketua Wanita Haniza Talha, Calon Ketua AMK Dr Afifi Bahardin dan Menteri Besar Selangor Amirudin Shari yang bertanding untuk Majlis Pimpinan Pusat (MPP).
Sebelum ini, penyokong Rafizi Ramli, Syed Syah Syed Osman turut membidas tindakan ghairah kem Azmin mengumumkan kemenangan itu.
“Para calon dinasihatkan tidak ghairah untuk mengumumkan diri sendiri sebagai pemenang kerana pemilihan PKR masih berlangsung dan belum sampai ke garisan penamat.
“Terdapat sejumlah besar undi ragu yang masih belum dikira dan kemungkinan besar berlaku pemilihan semula di cabang Julau dan Tawau kerana masalah teknikal,” katanya dalam kenyataan.
Cabang Julau, keputusannya masih menjadi tanda tanya selepas digantung kerana dakwaan serangan siber pada Sabtu lalu.
Keputusan cabang Pensiangan Sabah juga belum dimuktamadkan kerana lebih 1,000 undi tidak dikira. – 12 November, 2018.
Komen