Annuar akui berdepan kesukaran pastikan semua kekal dengan Umno


Asila Jalil

Setiausaha Agung Umno Annuar Musa mengakui berterusan menerima berita ada pihak yang 'melamar' ahli Parlimen dan Adun parti itu. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 12 November, 2018.

ANNUAR Musa berkata beliau berdepan masa sukar untuk memastikan ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Umno terus kekal memandangkan ramai di antara mereka sedang didekati agar meninggalkan parti.

Setiausaha Agung Umno itu mengakui menerima berita Adun parti yang mendapat lamaran untuk menyertai parti lain.

“Anggota Parlimen kami sering mendapat lamaran. Saya berterusan mendapat maklumat mengenai ada pihakyang mendekati ahli Parlimen dan Adun kami dan sudah beberapa orang daripada mereka membuat keputusan untuk beralih arah.

“Oleh itu, saya menghadapi saat sukar sebagai setiausaha agung untuk memastikan semua orang bersama,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Beliau membuat kenyataan itu selepas Adun Guar Chempedak, Ku Abdul Rahman Ku Ismail mengumumkan beliau berhenti daripada Umno untuk menjadi wakil bebas di Dewan Undangan Negeri Kedah.

Keputusan Ku Rahman meninggalkan Umno menyebabkan parti itu mempunyai hanya dua wakil rakyat dalam DUN 36 kerusi.

Annuar berkata beliau menghormati sebarang keputusan yang dibuat oleh ahlinya.

Beliau berkata Barisan Nasional tidak mengikat ahli Parlimen atau ahlinya dengan sebarang perjanjian dan terpulang kepada individu berkenaan untuk membuat keputusan.

Beliau berkata Umno sering mengadakan perbincangan di kalangan ahli Parlimen dan Adun untuk menyelesaikan sebarang masalah yang mereka tidak berpuas hati.

Beliau menambah isu ahli lompat parti bergantung pada prinsip individu.

“Ada yang merasakan jika mereka tidak mendapat peruntukan sebagai pembangkang (wakil rakyat), sukar bagi mereka untuk melaksanakan tanggungjawab mereka.

“Jadi, mereka menggunakan alasan (meninggalkan parti) adalah demi kepentingan pengundi mereka.” – 12 November, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen