PEGUAM tidak menjangkakan yang Abdul Gani Patail akan dipanggil sebagai saksi pembelaan untuk perbicaraan rasuah Musa Aman walaupun kini sudah jelas yang bekas peguam negara itu bertanggungjawab memutuskan untuk tidak mendakwa bekas ketua menteri itu pada 2012.
Minggu lepas, Musa didakwa dengan 35 pertuduhan korupsi melibatkan RM250 juta berkaitan dengan konsesi balak dianugerahkan kepada lebih 15 syarikat antara 2004 hingga 2008.
Persoalan kemudiannya timbul mengapa Musa tidak didakwa lebih awal iaitu pada 2012 apabila Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah menyiapkan siasatan ke atasnya. Gani adalah peguam negara ketika itu.
Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata Gani mungkin mempunyai sebab tersendiri untuk tidak mendakwa Musa, tetapi SPRM juga perlu menjelaskan perkara tersebut.
SPRM dalam kenyataan memberikan penjelasan yang kertas siasatan terhadap Musa sudah dihantar kepada Jabatan Peguam Negara yang memilih untuk tidak mendakwanya kerana dasar “tidak mendakwa kes berkaitan dengan derma politik”.
Peguam Perlembagaan Syahredzan Johan berkata tidak ada keperluan untuk memanggil Gani ke kandang saksi apabila perbicaraan kes Musa bermula.
“Dia (Gani) bertanggungjawab terhadap keputusannya untuk tidak mendakwa (pada 2012) tetapi ia berasingan daripada pertuduhan yang perlu dibuktikan terhadap Musa (pada masa sekarang,” kata Syahredzan yang juga merupakan setiausaha politik kepada veteran DAP Lim Kit Siang.

Gani masih berdiam diri terhadap desakan untuk beliau menjelaskan mengapa tidak mendakwa Musa dan perlu menjelaskan perkara itu di mahkamah.
“Mungkin tidak,” kata pakar Perlembagaan Gurdial Singh Nijar apabila ditanya sama ada Gani akan dipanggil sebagai saksi.
Minggu lepas juga, wakil rakyat DAP Lim Lip Eng menggesa Gani tampil menjelaskan mengapa beliau tidak mendakwa Musa sebelum ini. Gani juga diminta menjelaskan tuduhan yang beliau tidak mendakwa Musa kerana ada hubungan kekeluargaan.
“Kerana itu, Gani bertanggungjawab menjelaskan kepada rakyat mengapa dia tidak mendakwa Musa. Adakah Gani tidak mendakwa Musa kerana dia takutkan Musa atau bekas PM Najib Razak?
“Atau adakah kerana Gani ada hubungan dengan Musa? Gani perlu menjelaskan keputusannya dan menjelaskan semua keraguan yang kini wujud terhadapnya,” kata Lim dalam satu kenyataan.
Peguam Musa, Amer Hamzah enggan mengulas isu ini.
“Kami tak akan beri ulasan mengenai strategi dan persediaan kami untuk perbicaraan.
“(Tetapi) ringkasnya kami tak akan biarkan ada isu yang tertinggal,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Musa minta dibicarakan terhadap 35 pertuduhan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 5 November lalu. Kes itu akan didengar pada 13 Disember.
Beliau didakwa menerima suapan berjumlah AS$63 juta (sekitar RM243 juta) di Hong Kong dan Singapura sebagai imbuhan menawarkan konsensi balak di Sabah.
Musa, 67, adalah ketua menteri sejak 2003 hingga Mei 2018.
Menurut laporan, Putrajaya mengumumkan penamatan khidmat Gani sebagai peguam negara pada Julai 2015 kerana masalah kesihatan.
Tetapi selepas pilihan raya 9 Mei lalu, Dr Mahathir berkata Gani dipaksa berundur kerana beliau sedang menyiapkan pertuduhan kepada bekas perdana menteri Najib Razak berkaitan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Dr Mahathir kemudian melantik Gani mengetuai pasukan tindak khas untuk menyiasat 1MDB dan merampas semula aset yang dibeli dengan wang rompakan dana itu di luar negara. – 13 November, 2018.
Komen