PADA Isnin, derma mula mencurah-curah masuk untuk seorang lelaki digelar “lelaki bertroli” kerana usahanya cuba menggunakan sebuah troli beli belah untuk menghalang serangan maut seorang penyerang di Melbourne.
Kempen dalam talian GoFundMe yang diwujudkan untuk membantu Michael Rogers selepas video beliau cuba menghalang serangan Jumaat lepas tular melepasi jumlah AU$100,000 (AS$72,000) pada Isnin, dua kali ganda melepasi sasaran sebanyak AU$45,000.
Pada awal pagi Isnin, AU$104,790 telah disumbang ke dalam dana tersebut oleh lebih 3,700 orang.
“Saya takut, saya takut untuk diri sendiri,” Rogers memberitahu Channel Seven selepas kejadian itu, apabila Hassan Khalif Shire Ali menyerang orang awam di tengah Melbourne, membunuh seorang lelaki dan mencederakan dua yang lain sebelum ditembak mati polis.
Video yang dirakam orang awam menunjukkan Rogers berulang kali menolak troli beli belah itu kepada Shire Ali ketika beliau menyerang dua polis yang cuba menahannya.
“Saya nampak troli di sebelah, jadi saya ambil dan berlari dan melempar troli itu kepadanya,” kata Rogers. “Saya buat beberapa kali tapi dia tak jatuh.”
Rogers bertegas yang beliau “bukanlah seorang hero, tetapi saya merasakan mungkin sudah selamatkan beberapa nyawa.”
Polis berkata Shire Ali, seorang warga Australia kelahiran Somalia terinspirasi dengan pengganas Negara Islam tetapi tidak mempunyai hubungan dengan kumpulan pengganas itu dan bertindak sendirian. – AFP, 12 November, 2018.
Komen