Pesawat Air France tukar haluan gara-gara asap, bau busuk dalam kabin


Pesawat Boeing 777 milik Air France membawa 282 penumpang ketika kejadian itu berlaku. – Gambar Wikipedia, 11 November, 2018.

SEBUAH pesawat Air France yang membawa 282 penumpang dari Paris ke Shanghai terpaksa melakukan pendaratan kecemasan di Siberia selepas asap dan bau busuk memenuhi ruang kabin pesawat itu.

Syarikat penerbangan Perancis itu berkata tiada penumpang cedera dalam kejadian itu dan mereka ditempatkan di sebuah hotel berdekatan lapangan terbang Irkutsk di timur Siberia.

“Krew penerbangan AF116 pesawat Boeing 777 dari Paris ke Shanghai itu mengambil keputusan untuk menukar haluan ke Irkutsk di Rusia selepas bau busuk dan asap dikesan dalam pesawat,” kata syarikat itu.

“Pesawat itu mendarat tanpa sebarang masalah di Irkutsk pukul 8.10 pagi waktu Paris.”

Pegawai di lapangan terbang itu mengesahkan tiada kemalangan jiwa berlaku dan pakar telah dikerah untuk melakukan pemeriksaan terhadap pesawat itu.

Air France berkata pesawat itu boleh meneruskan penerbangan ke Shanghai selepas mendapat kelulusan teknikal. – AFP, 11 November, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen