TERSERGAM megah di tebing Sungai Chao Phraya, kompleks beli-belah terbesar Thailand, ICONSIAM, kini membuka pintunya kepada pengunjung setelah mengambil masa lebih lima tahun untuk siap dibina.
Pembukaan pusat beli-belah mega ini, yang menjadi sebahagian daripada projek pembangunan bercampur berharga Baht 54 bilion (RM7.1 bilion) dan mengandungi dua menara kediaman mewah, akan memperkukuhkan lagi kedudukan Bangkok sebagai antara ibu kota beli-belah utama Asia, di samping Kuala Lumpur dan Singapura.
“ICONSIAM lahir daripada keazaman yang kuat untuk menonjolkan segala kehebatan yang dimiliki orang Thai dan Thailand,” kata pengarah ICONSIAM Co Ltd Chadatip Chutrakul dalam kenyataan di sini.
Menurut beliau, projek pembangunan komersial itu juga memiliki “beraneka keajaiban dari segi seni dan budaya.
Katanya dengan keluasan ruang niaga kira-kira 9 juta meter persegi, pusat beli-belah itu menawarkan kemudahan untuk berbelanja dan berlibur terbaik, hasil kerjasama antara organisasi perniagaan kecil dan besar dari seluruh dunia.
Chutrakul berkata ICONSIAM akan menjadi tempat di mana semua perkara hebat dari seluruh dunia akan diperagakan kepada pengunjung.
Projek megah itu yang dijangka memberi sumbangan positif terhadap industri pelancongan negara ini, menjadi kenyataan hasil daripada kerjasama antara tiga syarikat terkemuka Thailand - Siam Piwat, Magnolia Quality Development Corporation (MQDC) dan Charoen Pokphand Group.
Pembukan rasmi projek pembangunan komersial bercampur itu disempurnakan Puteri Maha Chakri Sirindhorn dalam masjlis penuh warna-warni dan gilang-gemilang pada Jumaat malam.
Sementara itu, pengarah urusan ICONSIAM Co Ltd Supoj Chaiwatsirikul berkata pusat beli-belah mega berkenaan mencatat banyak rekod untuk Thailand, termasuk menempatkan untuk julung kalinya Takashimaya di Thailand, kedai yang menjual pelbagai barangan yang memiliki jenama lagenda dari Jepun di ruang seluas 36,000 meter persegi melibatkan tujuh tingkat bangunan berkenaan.
Menurutnya, ICONSIAM juga menarik kehadiran untuk julung kalinya Apple Store, Nike Kicks Lounge di Asia Tenggara dan Adidas Original Store terbesar di Asia, yang merupakan antara tarikan utama di kompleks beli-belah mewah itu.
Sementara itu, ketua pegawai eksekutif MQDC Visit Malaisirirat berkata syarikat itu sedang membina “Magnolia Waterfront Residences”, yang mengandungi dua menara kediaman super mewah di ICONSIAM.
Beliau berkata unit kediaman di tingkat 70 dan 52 menara itu mencipta rekod sebagai hartanah kediaman paling mahal di Thailand, dengan harga bermula daripada sekitar Baht 85 juta (RM11.1 juta) untuk unit kondominium dua bilik tidur.
Unit kediaman terbesar di menara itu, yang mempunyai keluasan 707 meter persegi, berharga kira-kira Baht 460 juta (RM60.5 juta).
“Kedua-dua menara kediaman ini mencatat kejayaan luar biasa dalam industri hartanah Thailand,” katanya. – Bernama, 11 November, 2018.
Komen