PM Israel pertahan keputusan benarkan Qatar bantu Hamas


Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu mengulas tentang kelulusan yang diberikan kepada Qatar untuk membantu Hamas. – Gambar fail EPA, 11 November, 2018.

PERDANA Menteri Israel Benjamin Netanyahu mempertahankan keputusannya untuk membenarkan Qatar menyumbangkan AS$15 juta bagi menyelesaikan krisis gaji di Semenanjung Gaza yang dikawal oleh Hamas.

Katanya keputusan itu akan meredakan ketegangan dan menghalang krisis kemanusiaan rakyat Palestin.

Ia merupakan kenyataan pertama Netanyahu berhubung isu tersebut sejak Israel membenarkan sumbangan wang disalurkan kepada wilayah Gaza yang dikuasai Hamas walaupun kumpulan itu dianggap sebagai pergerakan pengganas oleh rejim Zionis, Amerika Syarikat (AS) dan Kesatuan Eropah (EU).

Netanyahu berkata pihak keselamatan Israel dan menterinya juga menyokong usaha tersebut.

“Kami telah mengadakan perbincangan serius berhubung perkara itu dan ini adalah tindakan yang betul,” katanya.

Pada Jumaat, penjawat awam Palestin di Gaza mula menerima gaji selepas pembayaran tertunggak selama berbulan-bulan ekoran krisis ekonomi yang dihadapi wilayah itu disebabkan sekatan oleh Israel.

Kelulusan pemberian wang itu dipercayai sebahagian perjanjian dengan Hamas untuk menghentikan keganasan di sepanjang sempadan Gaza dan Israel sedia menarik semula sekatan ke atas wilayah itu.

Tunjuk perasaan di kawasan sempadan semakin reda sejak dua minggu lalu.

Bagaimanapun penyaluran dana itu dikritik oleh Pihak Berkuasa Palestin yang beribu pejabat di Ramallah yang merupakan seteru Hamas dan mahu kembali berkuasa di Semenanjung Gaza.

Netanyahu juga berdepan tekanan politik daripada pemimpin Israel termasuk ketua pembangkang Tzipi Livni yang menyifatkan keputusan itu hanya akan menguatkan kedudukan Hamas. – AFP, 11 November, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen