Fuziah mahu sisa berbahaya Lynas dihantar pulang ke Australia


Asila Jalil

Pada pendengaran awam dengan Jawatankuasa Eksekutif Semakan Semula Operasi Lynas hari ini, Fuziah Salleh berkata kerajaan Pakatan Harapan sudah berjanji memastikan alam sekitar dilindungi dalam proses pembangunan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 November, 2018.

AHLI Parlimen Kuantan Fuziah Salleh menggesa Lynas Malaysia mengembalikan sisa Water Leacher Purification (WLP) ke Australia dan jika gagal berbuat demikian, syarikat itu tidak boleh dibenarkan memperbaharui lesennya.

Pada pendengaran awam dengan Jawatankuasa Eksekutif Semakan Semula Operasi Lynas hari ini, Fuziah berkata kerajaan Pakatan Harapan (PH) sudah berjanji memastikan alam sekitar dilindungi dalam proses pembangunan.

Beliau membangkitkan syarat dalam lesen yang diberikan kepada Lynas yang menyatakan pengurusan diperlukan untuk mengitar semula sisa operasi dan jika gagal berbuat demikian Lynas diperlukan untuk membina kemudahan pelupusan tetap (PDF). Sekiranya gagal memenuhi kedua-dua syarat berkenaan, sisa itu perlu dikembalikan kepada Australia.

“Bagaimanapun, dalam kerangka kelestarian, ia perlu dikembalikan kepada Australia, sekiranya gagal ada PDF, sekiranya gagal kitar semula. Itu dalam konteks kelestarian,” katanya di Kuantan, Pahang.

Fuziah berkata Lynas bersetuju menghantar balik sisa ke Australia, tetapi beliau tidak dapat memastikan sama ada sisa tersebut adalah WLP atau sisa Neutralisation Underflow (NUF).

Tambahnya lagi, Lynas sering bercakap tentang NUF tetapi tidak pernah menyebut tentang WLP yang dakwa Fuziah adalah sisa radioaktif.

“Tetapi saya mahu mereka (Lynas) kembalikan WLP ke Australia dan orang Kuantan tak akan terima kurang daripada itu. Kegagalan berbuat demikian atau kegagalan membina PDF, mereka tidak boleh dibenarkan memperbaharui lesennya,” katanya ketika sesi terbuka bersama orang awam.

Sementara itu, Pengarah Urusan untuk Keselamatan Radiasi Lynas, Profesor Ismail Bahari berkata konvensyen antarabangsa menyebut yang langkah terbaik pengurusan sisa adalah “cradle to cradle” dan bukannya “cradle to grave” yang bermaksud sisa terhasil tidak seharusnya ditanam.

Katanya, Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) sudah menyatakan penyelesaian terbaik untuk pengurusan sisa adalah mencari kaedah menggunakannya semula.

“Jika ini gagal, PDF akan dicadangkan,” katanya kepada jawatankuasa.

Katanya, adalah salah untuk mengaitkan sisa berjadual sebagai sisa berbahaya. Katanya, sudah menjadi tanggungjawab Lynas untuk membuktikan NUF tidak berbahaya walaupun ia adalah sisa berjadual.

Bagaimanapun, jawatankuasa menolak dakwaan itu dan berkata sisa dikeluarkan adalah berbahaya walaupun mempunyai darjah bahaya yang berbeza.

“Kita tak boleh menyimpulkan yang sisa berjadual sebagai tidak berbahaya kerana darjah bahayanya berbeza. Ia (masih) berbahaya tetapi pada tahap berbeza,” kata seorang ahli jawatankuasa.

Pendengaran awam itu juga melibatkan wakil badan bukan kerajaan (NGO), Kementerian Kesihatan, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Jabatan Kesihatan dan Keselamatan Pekerjaan Pahang dan pakar yang membuat kajian mengenai Lynas. – 11 November, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen