Anwar akan mengaruk jika tidak dapat jadi PM, kata Zahid


SM Amin

Bakal ada gerakan menyingkirkan Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri dalam masa dua tahun ini, kata Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 November, 2018.

AHMAD Zahid Hamidi menjangkakan akan ada gerakan dari dalam Pakatan Harapan untuk menyingkirkan kerajaan pimpinan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dalam masa dua tahun ini.

Katanya, gerakan itu akan didalangi bakal presiden PKR Anwar Ibrahim yang sudah dijanjikan untuk menggantikan Dr Mahathir sekaligus diangkat sebagai perdana menteri Malaysia ke-8.

“Rakyat akan bangun, tidak perlu tunggu hingga pilihan raya umum akan datang. ‘Hantu raya’ yang menang (Parlimen) Port Dickson itu dijanjikan dua tahun, enam bulan sudah berlalu.

“Kita tengok setahun setengah lagi. Kalau hantu raya itu tidak dapat (jadi perdana menteri), pasti dia mengaruk. 

“Saya tahu, dulu kawan saya,” katanya ketika berucap di Majlis Perjumpaan Khas Kepimpinan Tertinggi Umno peringkat negeri Melaka di Kampung Bertam, Hulu Melaka, hari ini.

Kedudukan Dr Mahathir sebagai perdana menteri dilihat tidak kukuh apabila Bersatu pimpinannya hanya memiliki 13 kerusi Parlimen dalam PH, berbanding PKR yang ada 49 kerusi dan DAP 42 kerusi.

Ketua Biro Strategi Bersatu Rais Hussin sebelum ini juga mengakui ada gerakan dari penyokong Dr Mahathir dan Anwar untuk menggagalkan proses peralihan kuasa perdana menteri itu.

Rentetan itu, kedua-dua pihak dilaporkan berunding dengan Umno yang mempunyai kerusi Parlimen terbanyak sebelum ini iaitu 54 kerusi untuk mengukuhkan penguasaan masing-masing.

Umno kini tinggal 48 kerusi di Parlimen selepas enam wakil rakyatnya keluar parti, termasuk bekas menteri Mustapa Mohamed yang kemudiannya menyertai Bersatu.

Menurut Zahid, agenda utama Umno sekarang bukan berunding dengan mana-mana parti sebaliknya usaha memperkukuhkan parti jauh lebih penting.

“Yang penting siapa pun yang mahu berunding dengan kita, kita kena pastikan parti kuat, diperkukuhkan, bersatu padu dan pastikan bahtera kita tidak ditebuk dari dalam,” katanya.

Ketua pembangkang itu juga menyuarakan rasa kecewa dengan Pergerakan Pemuda Umno yang terpengaruh dengan dakyah lawan mendesak beliau berehat sebagai presiden setelah didakwa dengan 45 pertuduhan di mahkamah.

“Pastikan nakhoda terus bawa kapal ini. Ini nakhoda baru kena sikit dah minta bercuti.

“Jika saya bercuti, tidak mustahil selepas itu timbalan presiden yang memangku pun diminta cuti. Apa akan jadi sekiranya semua cuti? 

“Sebab itu dia cucuk orang dari dalam parti kita. Dia serang kita daripada luar, saya tidak mahu lompat, bubar parti, dia cucuk kawan-kawan dari dalam. Saya maafkan Pemuda dan meraikan perbezaan pendapat,” katanya.

Dr Mahathir kelmarin mengaku meminta Zahid membubarkan Umno namun dengan alasan Umno yang ada sekarang hanya tinggal nama saja kerana perjuangannya sudah terpesong.

“Apa perlunya ahli-ahli Umno kekal dalam parti yang sudah tinggalkan perjuangannya?

“(Umno kini) utamakan duit, ‘cash is king’. Sebab itu Umno yang semacam itu perlu dibubar,” kata Dr Mahathir dalam rakaman video dua hari lalu. – 11 November, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen