PENGELUAR minyak utama dunia bertemu di Abu Dhabi hari ini bagi membincangkan sama ada untuk memotong jumlah keluaran selepas kejatuhan mendadak harga minyak mentah kerana wujud kebimbangan krisis minyak dunia 2014 berulang.
Harga minyak jatuh lima kali ganda dalam masa sebulan selepas empat kali naik pada awal Oktober, dipengaruhi oleh beberapa faktor tertumpu kepada bekalan tinggi dan permintaan lembap.
Harga minyak Brent jatuh dibawah AS$70 per barel pada Jumaat buat pertama kali sejak April, sementara itu West Texas Intermediate (WTI) di New York jatuh dibawah AS$60 per barel, yang terendah sejak sembilan bulan lalu.
AS sudah meningkatkan pengeluaran minyak syal (shale oil), sementara Arab Saudi, Rusia dan beberapa negara lagin meningkatkan pengeluaran minyak mentah walaupun wujud petanda permintaan lembap.
Kejatuhan harga itu juga berlaku ketika wujudnya petanda kesan buruk sekatan AS ke atas negara pengeksport minyak Iran.
“Harga jatuh walaupun wujud peningkatan bekalan minyak mentah daripada pengeluar besar seperti Arab Saudi, Rusia dan AS, bagi menampung kehilangan bekalan dari Iran,” kata penganalisis Forex.com Fawad Razaqzada kepada AFP.
“Walaupun sekatan Iran tidak membawa kesan buruk seperti dijangka, pegawai pengeluar Opec dan bukan Opec mungkin berbincang hujung minggu ini tentang keperluan melaksanakan semula pematuhan kepada tahap 100% atau berisiko berdepan kejatuhan harga seperti 2014,” katanya.
Menteri tenaga pengeluar utama seperti Rusia dan Arab Saudi akan menyertai pegawai Opec dan bukan Opec untuk mesyuarat Jawatankuasa Bersama Pemantauan Peringkat Menteri yang menyelia tahap pengeluaran.
Pengeluar kedua dan ketiga terbesar dunia itu- selepas diatasai oleh AS kerana pengeluaran minyak syal- Rusia dan Arab Saudi adalah sekutu utama yang berjaya menstabilkan harga minyak selepas kejatuhan teruk 2014.
Walaupun pengeluaran dipotong bermula 2017, mereka berjaya menaikkan semula harga minyak daripada bawah AS$30 per barel kepada lebih AS$85 per barel pada Oktober, seterusnya meningkatkan pendapatan mereka.
Tetapi pengeluar minyak mula mengurangkan pemotongan keluaran pada Jun selepas wujud petanda pasaran semakin pulih dan harga semakin naik membolehkan ratusan ribu barel tambahan memasuki pasaran.
Arab Saudi menaikkan pengeluarannya kepada 9.9 juta barel setiap hari pada Mei kepada sekitar 10.7 juta bpd pada Oktober, menurut Menteri Tenaga Khalid al-Falih.
Kuwait, Iraq, Rusia dan Emiriah Arab Bersatu juga menaikkan pengeluaran mereka.
Mesyuarat itu yang akan dihadiri menteri tenaga Kuwait, Venezuela dan UAE dijangka tidak akan membuat keputusan muktamad sebaliknya hanya memberikan petunjuk.
JMMC, jawatankuasa teknikal dijangka akan menbuat cadangan penting mengenai pemotongan pengeluaran dalam pertemuan peringkat menteri di Vienna bulan depan untuk pengeluar Opec dan bukan Opec.
Commerzbank, bank kedua terbesar Jerman berkata pada Jumaat yang pengeluar minyak perlu bertindak bagi menghalang kejatuhan harga minyak tak terkawal.
“Jika mereka gagal memberi petanda untuk menghalang tren terbaru pengeluaran yang meningkat, harga minyak akan terus jatuh,” kata bank itu. – AFP, 11 November, 2018.
Komen