JAWATANKUASA Pemilihan Parti PKR mengesahkan bahawa aplikasi kontroversi yang dimuatkan dalam peranti untuk pengundian sememangnya dapat memanipulasi data pemilihan.
Pengarahnya Rashid Din berkata, berkata aplikasi anti kecurian Prey itu dapat dikawal dari jauh.
“Memang aplikasi itu bukan malware tapi setahu saya ia boleh buat data dalam tab dipadam dari jauh,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Beliau mengulas kenyataan Ketua Wanita PKR Zuraida Kamarudin bahawa yang mempertikaikan dakwaan kononnya sistem pemilihan parti itu di cabang Julau, Sarawak semalam digodam.
Dakwaan berkenaan menyebabkan pemilihan di cabang Julau ditangguhkan semalam.
Menurut Zuraida, pihak yang membuat dakwaan itu sebenarnya tidak faham fungsi aplikasi anti kecurian Prey yang popular dalam kalangan pengguna Android.
Sebelum ini calon timbalan presiden PKR Rafizi Ramli mendakwa wujud perbuatan khianat dalam pemilihan parti selepas kes pencerobohan sistem yang dikesan semalam.
Naib presiden itu berkata perisian “Prey Anti-Theft” seperti yang diberitahu Rashid direka untuk “memadam” undi pada tablet.
Disebabkan pencerobohan sistem e-undi itu, Rashid mengumumkan keputusan di cabang Julau digantung sementara.
Rafizi dalam pada itu mendakwa jika tidak disebabkan pencerobohan tersebut, beliau telah memperolehi 3,000 undi.
Julau merupakan cabang kontroversi kerana peningkatan ahli yang mendadak sehingga SPRM campur tangan dan membuat siasatan. – 11 November, 2018.
Komen