TIDAK mungkin suara Khairy Jamaluddin Abu Bakar (KJ) sebagai bekas ketua Pemuda Umno wajar didiamkan. Usaha melenyapkan perjuangan menongkah arus bekas menteri belia dan sukan itu, jelas membayangkan gaya politik Umno kekal dengan budaya regim presiden.
KJ sebagai anak jantan yang berani bertanding kerusi presiden parti pada Jun lalu, adalah hulubalang baharu yang tidak takut menongkah arus lapuk. KJ bangkit menentang elemen haprak dalam Umno.
Justeru, tindakan puak dan juak yang mendesak KJ supaya mendiamkan diri dalam isu-isu dalaman parti tentunya sia-sia. KJ jelas membuktikan dia bukan bacul!
Usaha menghapuskan KJ menjadikan Umno parti tua yang kekal mengamalkan politik kerat lidah – satu amalan demokrasi bertakuk lama.
KJ perlu melawan dan terus melawan. Realiti itu nampaknya akan kekal menjadi personaliti ahli Parlimen Rembau itu pada era selepas kejatuhan partinya.
KJ sedar, Umno lingkup kerana parti itu terlalu lama membudayakan doktrin: orang bawahan hanyalah pak turut. Malah, KJ tahu - budaya pak turutlah yang melingkupkan Umno di mata pengundi.
Herannya, puak dan juak anti KJ ini macam tidak sedar diri. Bukankah budaya pak turut sejak 2009 hingga 8 Mei lalu, punca utama parti itu ditolak rakyat selepas enam dekad berkuasa?
Malah, sangat janggal jadinya. Pemimpin atasan Umno perlu berasa takut dengan cara KJ. Apakah seorang KJ yang sedang menongkah arus wajar dianggap berbahaya kepada Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi?
Bukankah sekarang ini dengan senarai pimpinan kanan di peringkat timbalan dan naib presiden, malah sampai ke Majlis Tertinggi (MT) parti, Dr Ahmad Zahid dikelilingi pak turut yang taat dan setia?
Selain KJ, hanya Ketua Pemuda Umno Dr Asyraf Wajdi Dusuki saja yang nampaknya berada dalam mode berani membantah presiden.
Selebihnya, Umno kelihatan dipenuhi dengan barisan kepimpinan yang berkelas kawanan lembu dicucuk hidung.
Bagi pembodek presiden, alasan mereka mengutuk KJ kerana mahukan Umno kekal stabil dan kukuh. Itu juga alasan Asyraf dikutuk.
Namun, Umno lupa, budaya kawanan lembu dicucuk hidunglah punca pengundi menyampah dengan parti itu. pengundi menyampah dengan parti itu.
Apa guna Umno kuat di mata ahli, kalau di mata rakyat parti itu dianggap kawanan lembu dalam kawalan seorang gembala?
Umno nampaknya akan kekal sebagai parti yang dibelenggu pemimpin bermasalah. Keghairahan melampau mempertahankan presiden atas semangat taat setia menjadikan Umno macam tidak belajar daripada sejarah.
Umno kalau pun berasaskan angka keahlian lapuknya – tidak harus melihat relevan parti itu hanya di mata tiga juta ahlinya. Umno mesti utamakan rakyat. Umno tidak wajar menjadi parti yang diperkudakan pemimpin. Apa lagi sebagai kakasan demi melindungi kepentingan peribadi seorang pemimpin.
Bagi pembenci Umno, parti itu kelihatan sedang menuju jalan mati. Langkahnya kini menuju ke kubur dengan sejarah hitam sebagai platform yang dipergunakan puak berkepentingan.
Bagi pencinta Umno pula, parti itu akan mati sebagai Romeo yang menelan racun demi cinta buta tuli dan sia-sia. Hubungan antara MT dan presiden kini ibarat kisah cinta Romeo dan Juliet. Kedua-dua bakal mati sia-sia kerana roman asmara yang membabi buta.
Perang KJ dan Lokman Nor Adam hanya satu lagi babak kesinambungan lama. Watak-watak Hang Setia era kejatuhan Umno sebelum PRU14 akan terus berulang dan berulang.
Watak penyalak piaraan seperti Salleh Said Keruak dan Abdul Rahman Dahlan akan selalu ada. Sejenis sikap kesetiaan yang dizahirkan dengan salakan demi salakan membela presiden tanpa melihat realiti politik.
Begitulah Umno. Kalau nilai setia ala hewani terus menjadi budaya politiknya, patutlah rakan-rakan gabungan dalam BN melarikan diri.
KJ tidak mungkin didiamkan. Dia bukan budak bahlol yang dibayar untuk setia. Asyraf juga akan makin kuat bersuara dengan protesnya. Dua anak muda ini sedar, harus ada tantangan ketika begitu banyak lembu dicucuk hidung kini hidup berlegar di sekitar kepimpinan Umno.
Imej Umno akan jadi parti kawanan lembu di ladang tandus kalau KJ dan Asyraf tidak terus menentang kerosakan ini.
Pada era generasi muda mahukan budaya kritis dan politik idea dicambahkan, usaha melenyapkan pengkritik dalam parti adalah langkah terkebelakang. Ia menjadikan Umno kekal kolot dan dikuasai pembolot. Pemimpin sejati berani mati demi parti. Bukan mengorbankan parti demi survival diri! – 11 November, 2018.
* Zainal Rashid Ahmad ialah wartawan dan penulis sastera yang telah menghasilkan antaranya novel Hikayat Tanah Jauh (2015) dan kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014), Magis Kota (2016), Pop Urban (2017), dan kumpulan puisi Sepi Itu Mati (2016) dan Orang Sepi Pergi ke Gurun (2018). Beliau memenangi 38 hadiah sastera.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen