201 mangsa wabak Ebola terbaru di Congo


Hampir separuh kes itu berlaku di Beni, sebuah bandar berpenduduk 800,000 orang di wilayah Kivu Utara. – Gambar AFP, 11 November, 2018.

JUMLAH kematian wabak Ebola di barat Republik Demokratik Congo naik kepada lebih 200 orang, kata Kementerian Kesihatan semalam.

Kementerian berkata ia mencatatkan 201 kematian kerana wabak itu dan 291 kes lagi dikesan sejak wabak bermula Ogos lalu.

Hampir separuh kes itu berlaku di Beni, sebuah bandar berpenduduk 800,000 orang di wilayah Kivu Utara.

Jabatan Keamanan PBB pada Jumaat menggesa kumpulan bersenjata yang aktif di kawasan itu supaya tidak menghalang usaha memerangi wabak tersebut.

Pasukan perubatan yang berusaha menangani wabah tersebut “berdepan ancaman, serangan fizikal, pemusnahan berulangan peralatan mereka dan penculikan,” kata Menteri Kesihatan Oly Illunga pada Jumaat.

“Dua rakan sekerja kami di Unit Tindak Balas Pantas Perubatan terkorban dalam serangan itu,” katanya.

Wabak itu adalah kali kesepuluh berlaku di Congo sejak Ebola mula dikesan di situ pada 1976.

Ebola adalah penyakit berjangkit kronik yang merebak pantas melalui cecair badan dalam jumlah kecil menyebabkan pendarahan dalaman dan kematian.

Sejak program vaksinisasi bermula pada 8 Ogos, lebih 24,000 sudah disuntik, kata kementerian dalam satu kenyataan awal bulan ini. – AFP, 11 November, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen