ABANJ Anjang sedang meraut rotan untuk dibuat jerat ketika ditemui di salah satu pondok di Kampung Kaleg, salah satu lokasi sekatan Orang Asli di pedalaman Gua Musang.
Jerat dipanggil belait itu untuk menangkap tikus – untuk dimakan. Beliau akan memasangnya di luar lubang haiwan rodensia berkenaan dengan secebis ubi sebagai umpan.
“Bila sudah dapat, kita bakarlah. Rasanya manis,” kata Abanj, 88, sambil tersenyum. Jerat itu dipasang di sekitar kawasan sekatan, yang menempatkan lapan pondok.
Kawasan sekitar pondok itu sememangnya kaya dengan sumber makanan namun pada musim hujan, segala-galanya sukar.
“Untuk makan, pakcik kena cari sendiri. Tak apa, tak ada hal,” kata bekas anggota polis cawangan khas itu.
Beliau sudah kehabisan bekalan. Tiada lagi NGO atau individu yang masuk menghantar bekalan makanan sejak sekatan itu dibuka pada bulan lalu.
Harga barangan di kawasan ini pula lebih mahal berbanding di kawasan berhampiran bandar Gua Musang. Di sini, mereka perlu membayar harga RM40 bagi sekilo ayam dan sekilo ikan kembung.
Kumpulan masyarakat ini juga sudah biasa mengisi petrol untuk motosikal mereka dengan petrol dari kedai runcit di Kuala Betis dengan harga RM3 seliter.
Harga barangan itu akan melambung lagi pada musim tengkujuh ini kerana kawasan berkenaan sukar dilalui.

Jalan tanah merah merentasi bukit bukau untuk ke kawasan tersebut tidak dapat ditempuhi, kecuali dengan pacuan empat roda dilengkapi tayar khusus untuk meredah selut.
Hujan turun tanpa henti sejak tiga hari sebelumnya dan Jabatan Meteorologi meramalkan ia akan berterusan sepanjang musim tengkujuh.
Selain tikus, pada musim hujan ini mereka hanya akan dapat menangkap segnuk – sejenis katak besar yang boleh mencapai berat satu kilogram seekor.
Ia menghuni kawasan tepi Sungai Kaleg yang kini keruh akibat aktiviti pembalakan dan pembukaan tanah di kawasan hulu.
Kampung hanyut dibawa lumpur
Kampung kelahiran asalnya adalah Pos Keled yang terletak kira-kira sehari perjalanan dari Kaleg. Segala-galanya di kampung itu dimusnahkan banjir lumpur ketika beliau masih kecil.
Seramai 41 orang yang terselamat dari bencana itu seterusnya berpindah dan mereka membuka penempatan baharu di Pos Gob, katanya.
“Gob itu maksudnya hanyut. Semuanya di kampung lama sudah hanyut,” katanya.
Pemandu kami, Faizal mencelah. Pos Gob tidak lagi boleh dihubungi kerana dua buah jambatan kayu berdekatan kampung itu runtuh selepas hujan berterusan selama dua hari, katanya.
Abanj seterusnya menjelaskan, sebab itulah masyarakat Orang Asli tidak akan ke mana-mana pada musim ini.
“Duduk saja di rumah. Takut air sungai naik ke rumah. Bahaya,” kata Abanj.
Namun jalan utama di lokasi sekatan itu tidak sunyi. Dalam tempoh setengah jam, beberapa buah kenderaan pacuan empat roda melalui jalan di hadapan pondok tersebut.
Setiap individu dalam kenderaan yang lalu-lalang itu tidak lepas daripada pandangan tajam Abanj.
“Kita tengok sahaja. Tak boleh sekat. Orang atasan (mahkamah) suruh buka (sekatan), kita bukalah,” katanya lagi sambil menyambung rautannya.
Hanya mampu perhati
Sekatan tersebut akhirnya dibuka pada 17 Oktober lalu oleh pihak berkuasa daripada Jabatan Perhutanan Negeri dan juga anggota polis ekoran satu injunksi mahkamah.
Turut dibuka adalah tiga sekatan lain – di Kampung Cawas yang terletak kira-kira 20 kilometer dari situ dan juga di Kampung Kuala Wok di Pos Pasik yang terletak di kawasan Jelawang.
Dengan itu, pekerja dan pengusaha ladang durian – yang mengusahakan 1,000 hektar tanah di kawasan hutan berkenaan – dapat keluar masuk ke kawasan ladang mereka dengan mudah.

Begitu juga dengan kenderaan berat yang mengeluarkan kayu balak dari perut hutan tersebut.
Namun, segalanya belum berakhir kerana aktivis dari Jaringan Kampung Orang Asli Kelantan memfailkan permohonan untuk mencabar injunksi tersebut.
Maka, beliau akan tetap berkawal di pondok sekatan terbabit, kerana perjuangan berkenaan belum selesai, kata Abanj.
“Selagi belum habis, saya akan tetap di sini,” katanya.
Abanj berharap kes berkenaan akan diselesaikan segera kerana beliau tidak mahu hubungan di antara masyarakat di kawasan tersebut terjejas.
Beliau dapat mengesan hubungan di kalangan masyarakat Temiar dan juga orang Melayu yang menghuni pekan Kuala Betis terjejas akibat sekatan yang didirikan.
Ini memandangkan, kalangan orang Melayu di Kuala Betis dan sesetengah Orang Asli bekerja dengan syarikat ladang durian terbabit.
Tiada milikan tanah
Tapi sekatan itulah satu-satunya cara yang terdaya dilakukan untuk mempertahankan hak mereka, katanya.
Jelas Abanj, penduduk kampung Orang Asli pada asasnya tidak berpuas hati kerana pengusaha berkenaan tidak meminta izin daripada orang sepatutnya untuk membuka tanah terbabit.
“Kalau betul ada minta dengan penghulu kita, tak apa. Tapi ini tidak ada (izin),” katanya.
Mereka juga bimbang kerana tidak menerima apa-apa surat hak milik ke atas apa-apa kawasan tanah, katanya lagi.
“Saya dengar (Orang Asli) di Perak sudah dapat geran. Di sini belum ada lagi, semuanya tanah berjasa,” tambahnya.
Walaupun pernah menjadi anggota cawangan khas polis, Abanj berkata beliau tidak menerima sebarang pencen atau bayaran lain kerana berkhidmat secara kontrak.
Beliau diambil menyertai pasukan polis sewaktu tempoh darurat atas kepakarannya mengesan anggota tentera komunis.
“Itu selama satu tahun setengah saja. Kemudian bila habis kes langoi (komunis), saya serah pakaian seragam dan senjata api, saya balik ke kampung. Buka tanah, berjasa,” katanya.
Beliau mengusahakan kebun ubi kayu dan getah berhampiran kediamannya sekarang di Kampung Gawin, yang terletak kira-kira tiga jam dari situ.

Takut hilang penjaga
Abanj berkata beliau mahu terus hidup dengan cara sederhana di kampung halamannya di tengah-tengah hutan banat itu.
Sumber hutan itulah yang menjaga kesihatan dan kesejahteraannya, kata Abanj yang menambah, beliau hanya dimasukkan ke hospital sekali seumur hidupnya, pada 1970 akibat diserang malaria.
“Tengok itu pokok kaleg. Kalau luka, ikat daun di tempat yang kena. Darah pun tak mengalir,” katanya yang memberi contoh sebatang pokok renek di lereng bukit di belakang pondok.
Beliau bimbang segalanya akan musnah sekiranya pembalakan terus dibiarkan berleluasa untuk pembukaan ladang seperti untuk tanamah durian musang king.
“Mula-mula mereka sebut 1,000 ekar. Tapi saya tak tahulah kalau mereka akan tambah lagi,” katanya. – 11 November, 2018.
Komen