Siasatan Suhakam gagal beri jawapan kepada keluarga aktivis yang hilang


Noel Achariam

Susanna Liew dan Norhayati Ariffin maish menaruh harapan misteri kehilangan suami mereka akan terjawab. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 November, 2018.

SETAHUN selepas Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) memulakan siasatan terhadap empat aktivis yang hilang, tidak banyak yang dicapai susulan kehilangan saksi dan kurangnya kerjasama daripada pihak polis, kata isteri aktivis dari Perlis, Amri Che Mat.

Suri rumah Norhayati Ariffin yang turut serta dalam siasatan kehilangan suaminya selama berbulan-bulan tetapi akhirnya kecewa apabila siasatan dihentikan bulan lepas tanpa banyak maklumat mengenai apa yang terjadi kepada Amri.

Beliau memberitahu The Malaysian Insight siasatan itu tidak berakhir sehingga kedua-dua saksi penting ditemui dan dibawa untuk memberi keterangan.

“Saya masih percaya pihak berkuasa terlibat kerana kedua-dua saksi masih hilang.

“Saya harap kedua-dua mereka akan ditemui supaya Suhakam dapat membuka semula siasatan,” kata Norhayati kepada The Malaysian Insight.

Kedua-dua saksi dimaksudkan Norhayati adalah Saiful Bahari dan Saiful Afdzan.

Polis mengatakan mereka tidak dapat mencari pegawai polis Saiful Bahari. Kehadiran beliau pada siasatan itu penting kerana keretanya (Toyota Vios berwarna emas) didakwa dilihat berhampiran tempat Amri diculik.

Siasatan itu sebelum ini mendengar yang Saiful tidak datang bekerja sejak November tahun lepas dan tidak dapat dihubungi.

Saksi kedua Saiful Afdzan adalah pemilik restoran Mak Lang di Perlis dan enggan menghadiri siasatan itu, menjadikan alasan kedainya mengalami kerugian.

Panel mendengar bahawa Saiful Afdzan didakwa melihat penculikan yang berlaku di restorannya.

Bulan lalu, Pesuruhjaya Suhakam Mah Weng Kwai berkata panel itu sebulat suara memutuskan untuk menutup siasatan tersebut berhubung kehilangan Amri kerana faktor masa.

Beliau berkata mereka memulakan (siasatan awam) pada Oktober tahun lepas, dan penggal panel berakhir pada April tahun depan.

“Kita perlu meneruskan dengan penghujahan kerana kami memerlukan masa untuk membuat keputusan.”

Norhayati berkata siasatan Amri tidak selesai dan Suhakam mesti membuka semula kes jika saksi-saksi itu ditemui.

“Sekiranya mereka tidak muncul maka saya percaya mereka (pihak berkuasa) menyembunyikan bukti. Kami berharap polis dapat mencari mereka.”

Siasatan terhadap kehilangan Amri bermula pada 22 Januari tahun ini yang menyaksikan 24 saksi memberikan keterangan mereka.

Amri sedang disiasat oleh polis sebelum hilang kerana didakwa menyebarkan ajaran Syiah.

Amri, yang mengasaskan sebuah NGO bernama Perlis Hope, hilang sejak 24 November 2016. Beliau kali terakhir dilihat di Kampung Padang Behor, kira-kira 500 meter dari rumahnya di Bukit Chabang, Perlis.

Beliau dipercayai diculik oleh sekumpulan individu menaiki kenderaan pacuan empat roda.

Suhakam juga melakukan siasatan terhadap kehilangan Pastor Raymond Koh, Pastor Joshua Hilmy dan isteri Joshua, Ruth, bagi memastikan sama ada kes-kes kehilangan melibatkan pihak berkuasa.

Koh diculik di Petaling Jaya pada tahun lepas oleh kira-kira 15 lelaki menaiki tiga SUV hitam. Penculikan yang berlaku pada siang hari, dikatakan diselaraskan dengan teratur.

Polis mendakwa seorang suspek dengan bagi kes penculikan Koh tetapi keluarganya mempersoalkan sama ada mereka menangkap individu yang betul.

Dan seperti Norhayati, isteri Koh, Susanna Liew, masih tidak mendapat penutupan bagi kehilangan suaminya melalui siasatan awal Suhakam.

Beliau juga dilaporkan berkata mengesyaki pihak berkuasa melindungi kes penculikan suaminya.

Siasatan ke atas kehilangan Joshua dan Ruth akan dilakukan selepas ini. – 11 November, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen