Banjir kilat di Jordan ragut 11 nyawa


Usaha mencari dua gadis yang hilang dekat Madaba kini giat dijalankan. – Gambar EPA, 10 November, 2018.

BANJIR kilat melanda Jordan, membunuh 11 orang dan memaksa hampir 4,000 pelancong keluar dari kota kuno terkenal, Petra, kata pihak berkuasa hari ini.

Lima orang disahkan terkorban di kawasan barat daya Amman selepas dilanda hujan lebat.

Manakala di sebelah timur, tiga orang terbunuh berhampiran Dabaa di Desert Highway, manakala seorang maut berhampiran Maan di sebelah selatan.

Pasukan pencari dan penyelamat kini sedang berusaha mencari dua gadis yang hilang dekat Madaba.

Tentera Jordan mengerahkan helikopter dan all-terrain vehicle (ATV) bagi membantu operasi mencari dan menyelamat.

Seorang penyelamat antara yang terbunuh, kata jurucakap tentera.

Stesen televisyen Jordan melaporkan paras air mencecah setinggi empat meter di kota lama Petra dan kawasan padang pasir Wadi Musa.

Laporan turut menunjukkan pelancong berlindung di tanah tinggi di kedua-dua belah jalan masuk ke kawasan tarikan pelancong itu. – AFP, 10 November, 2018. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen