Mayat Khashoggi dicairkan dengan asid, dibuang dalam longkang


Jamal Khashoggi dilihat memasuki bangunan konsulat itu pada 2 Oktober untuk mendapatkan dokumen perkahwinannya. Mayatnya tidak pernah ditemui. – Gambar EPA, 10 November, 2018.

PASUKAN pembunuh wartawan Arab Saudi, Jamal Khashoggi membuang mayatnya ke longkang selepas mencairkan tubuhnya dalam asid, lapor akhbar Turki hari ini.

Sampel diambil dari longkang di bangunan Konsulat Arab Saudi di Istanbul menunjukkan kesan asid, kata akhbar pro kerajaan Sabah, tanpa memetik sumber.

Ini mendorong penyiasat untuk percaya bahawa mayat pengkritik rejim Riyadh itu dibuang menerusi longkang itu dalam bentuk cecair, kata akhbar itu.

Khashoggi dilihat memasuki bangunan konsulat itu pada 2 Oktober untuk mendapatkan dokumen perkahwinannya. Mayatnya tidak pernah ditemui.

Selepas berkali-kali menafikan, Arab Saudi akhirnya mengakui wartawan berusia 59 tahun itu dibunuh dalam satu misi operasi “nakal”.

Bagaimanapun, Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan mendakwa “peringkat tertinggi” kerajaan Arab Saudi mengarahkan pembunuhan itu, sementara beberapa pegawai menuding jari ke arah Putera Mahkota Mohammed bin Salman.

Yasin Aktay, penasihat kepada Erdogan, minggu lalu berkata mayat itu mungkin dicairkan dalam asid.

Pada Isnin, pegawai Turki berkata Arab Saudi menghantar dua pakar ke Istanbul dengan matlamat khusus menutup bukti selepas pembunuhan itu. – AFP, 10 November, 2010.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen