Indonesia menghentikan operasi pencarian penumpang pesawat Lion Air hari ini, selepas hampir dua minggu kejadian pesawat itu terhempas di Laut Jawa dan mengorbankan 189 penumpang serta anak kapal.
Kira-kira 196 beg mengandungi bahagian tubuh manusia ditemui dari dasar laut dengan 79 mangsa dikenal pasti dan diserahkan kepada keluarga masing-masing untuk disempurnakan pengebumiannya.
“Sejak petang semalam hingga hari ini kami belum menemui sebarang mangsa lagi dan oleh itu saya umumkan operasi pencarian dan menyelamat ini berakhir,” kata ketua agensi mencari dan menyelamat Muhammad Syaugi.
“Kami mohon maaf kepada orang ramai, terutama keluarga mangsa jika sepanjang operasi berjalan kami tidak dapat memuaskan hati semua orang,” katanya.
Pasukan penyelamat juga menemui sebahagian enjin pesawat, roda dan kerusi dari dasar laut. Seorang penyelam maut ketika operasi itu.
Lion Air mula membayar wang pampasan AS$102,058 kepada setiap waris penumpang.
Jawatankuasa Keselamatan Pengangkutan Nasional Indonesia menemui salah satu kotak hitam – perakam data pesawat – dan masih mencari perakam suara kokpit, yang merekodkan komunikasi terakhir antara juruterbang dan pembantu juruterbang sebelum ia terhempas.
Pesawat Boeing 737-Max 8 yang malang itu, adalah antara pesawat penumpang komersial paling maju dan terbaru di dunia, dan sehingga kini belum ada jawapan kepada punca kemalangan itu. – AFP, 10 November, 2018.
Komen