DUA laporan polis dibuat berhubung penyalahgunaan dana Tabung Pembangunan Sumber Manusia (HRDF) yang didakwa mencecah jutaan ringgit, kata Menteri Sumber Manusia.
“Laporan ini dibuat minggu lalu,” kata M Kulasegaran kepada pemberita selepas sesi town hall HRDF dengan persatuan majikan dan majikan berdaftar di Kuala Lumpur hari ini.
Sesi town hall itu diadakan sempena penerbitan laporan Jawatankuasa Pemantauan Tadbir Urus (GOC) hari ini.
Jawatankuasa ini diketuai oleh bekas ketua pengarah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Rebecca Fatima Sta Maria yang ditugaskan untuk memantau amalan HRDF.
Kementerian itu bagaimanapun enggan memberi butiran berhubung laporan berkenaan atau jumlah penyalahgunaan yang didakwa berlaku selain mengatakan ia melibatkan “jutaan ringgit”.
“Kami mahu pihak polis menjalankan tugas mereka dan menyiasat dakwaan ini,” kata Kulasegaran dan menambah kerajaan akan memulakan prosiving sivil dan jenayah terhadap pelaku.
Ketua Eksekutif HRDF yang baru dilantik V.E. Elanjelian berkata penyalahgunaan datang daripada dana yang disatukan.
“Sebelum 2016, levi latihan yang dikutip dari majikan masuk ke dana utama di mana mereka boleh menggunakannya secara langsung melalui HRDF. Tetapi selepas penciptaan dana yang disatukan (diumumkan semasa bajet negara 2016) 30% daripada levi yang dikumpulkan masuk ke dana ini.
“Selepas itu, wang itu digunakan oleh pihak pengurusan untuk latihan atau program lain yang hanya diputuskan oleh mereka. Sesetengah transaksi ini tidak melalui lembaga pengarah,” kata Elanjelian.
Laporan GOC turut menekankan terdapat perbelanjaan luar biasa dari dana yang disatukan yang tidak diluluskan oleh lembaga pengarah.
Pada Jun, bekas CEO HRDF C.M. Vigneswaran Jeyandran meletak jawatan daripada dana latihan pekerja berhubung tuduhan penyalahgunaan dana RM300 juta.
Peletakan jawatan Vigneswaran diikuti oleh tujuh peletakan jawatan lain dari lembaga pengarah HRDF.
Aduan tentang penyalahgunaan sebanyak RM300 juta didedahkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Bagan M. Satees dan Ahli Majlis Perbandaran Seberang Prai, David Marshal yang telah membuat laporan polis berhubung perkara itu. – 10 November, 2018
Komen