Tolak cadangan undang-undang sekat sebaran agama bukan Islam


Noel Achariam

Bekas ketua hakim syariah mencadangkan undang-undang baharu diwujudkan bagi membendung penyebaran agama bukan Islam kepada Muslim. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 November, 2018.

PUTRAJAYA tidak sepatutnya mempertimbangkan cadangan bekas ketua hakim syariah Sheikh Ghazali Abdul Rahman untuk mewujudkan undang-undang baharu bagi membendung penyebaran agama bukan Islam, kata kumpulan antara agama.

Majlis Perundingan Malaysia Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Taoisme (MCCBCHST) berkata undang-undang yang hanya untuk melindungi satu agama saja, bukan satu tindakan tepat.

“Kenapa membeza-bezakan, yang hanya Islam saja boleh disebarkan kepada orang lain,” kata Presiden MCCBCHST R.S. Mohan kepada The Malaysian Insight.

“Jika ada undang-undang seperti itu, makan Islam juga sepatutnya termasuk sekali,” katanya sebagai respons kepada laporan Utusan Malaysia yang memetik Sheikh Ghazali.

Bekas ketua hakim syariah itu berkata semua negeri perlu mempertimbangkan untuk meluluskan undang-undang bagi membendung penyebaran agama lain susulan pengedaran Bible kepada pelajar di luar sebuah sekolah di Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

Gambar beberapa lelaki sedang memberikan Bible dirakamkan oleh ibu bapa dan menjadi tular di media sosial dalam kalangan kumpulan Muslim. Enam NGO Muslim turut membuat laporan polis berhubung insiden itu.

Sheikh Ghazali berkata Jabatan Hal Ehwal Islam Pulau Pinang, yang menyiasat perkara itu, tidak dapat mengambil tindakan kerana kekurangan undang-undang seumpama itu.

Beliau berkata semua negeri sepatutnya mempertimbangkan untuk meluluskan undang-undang seumpama itu bagi mengelak insiden berkenaan berulang.

Beberapa negeri sudah mempunyai enakmen berhubung agama bukan Islam, mengawal penyebaran agama lain dalam kalangan umat Islam, seperti enakmen Selangor 1988.

Perlembagaan Persekutuan juga melarang memurtadkan umat Islam ke agama lain.

Mohan berkata apa yang berlaku di Bukit Mertajam salah di sisi perlembagaan, tetapi memperkenalkan undang-undang baharu bagi mengawal agama lain, adalah tidak betul.

“Biar setiap agama menjalankan amalan masing-masing dan tidak ada sesiapa campur tangan dalam amalan agama mereka.

“Tetapi jika mereka mula menyebarkan agama kepada orang lain dan secara tidak langsung memaksa mereka bertukar agama, maka itu salah.”

Mohan berkata ada juga kes di mana Al-Quran diedarkan kepada bukan Islam dan kes di mana kanak-kanak ditukarkan agama kepada Islam tanpa kebenaran ibu bapa mereka, contohnya di sekolah asrama.

“Untuk memahami agama lain itu bagus kerana kita negara berbilang kaum dan bagi memastikan negara ini menjadi lebih baik.

“Tetapi tidak sepatutnya ada agenda tersembunyi seperti cuba menukar agama sesiapa.

“Dan juga perlembagaan menyatakan kami dibenarkan mengamalkan agama masing-masing. Dalam Malaysia baharu kita menghormati agama masing-masing,” katanya. – 10 November, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen