Sektor perabot tanggung beban kerana dasar Putrajaya yang tidak jelas 


Khoo Gek San

Sektor perabot tidak mendapat pekerja asing sejak perubahan kerajaan Mei lalu walaupun semua bayaran yang perlu sudah dibuat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 November, 2018

TANPA buruh asing, industri perabot tempatan telah jatuh ke dalam situasi buruk dan menghadapi kerugian hampir RM400 juta dalam eksport pada Ogos tahun ini, kata pemain industri.

Mereka menyalahkan dasar buruh kerajaan dan menambah bahawa kekurangan pekerja asing dalam sektor ini telah menyebabkan ramai daripada mereka berhenti mengambil tempahan baru.

Mereka tidak mendapat buruh asing sejak perubahan kerajaan pada Mei lalu walaupun membuat semua bayaran permohonan, kata mereka.

Menurut angka daripada Majlis Perabot Malaysia (MFC), sektor ini biasanya menunjukkan 6.4% pertumbuhaan tahunan tetapi kini ia menunjukkan penurunan pada 5.8% setakat Ogos tahun ini. Kerugian itu berjumlah RM387.3 juta.

Presiden MFC Chua Chun Chai berkata, kerajaan baharu tidak mempunyai dasar buruh asing yang jelas dan tiada perkembangan daripada Kementerian Industri Utama, Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Dalam Negeri.

Chua berkata syarikatnya memohon untuk 200 buruh dan sudah menjelaskan semua bayaran yang perlu tetapi import pekerja asing digantung selepas pertukaran kerajaan, yang membawa kepada kekurangan tenaga kerja.

“Saya sudah menemui pekerja dan membuat bayaran kepada kerajaan, Kini saya hanya menunggu kebenaran kerana saya sudah mohon untuk 200 pekerja, tetapi apa yang saya mahukan adalah pekerja bukan bayaran balik.

“Sudah banyak kali saya tanya, dan mereka tahu situasi saya. Mereka menyatakan sekiranya saya tidak boleh tunggi, mereka boleh pulangkan semula wang kepada waya, tetapi apa yang saya mahukan adalah pekerja dan bukannya kembalikan semula bayaran.

“Walaupun saya dibayar balik, saya tidak mempunyai pekerja yang cukup, dan saya tidak berani menerima banyak tempahan,” katanya.

Chua memberitahu The Malaysian Insight beliau sudah mengadakan oertemuan dengan pegawai Kementerian Industri Utama tetapi masalah berkenaan masih tidak seelsai. Katanya, semua permohonan sudah dibuat dan semua permohonan baru digantung.

Nampak seolah-olah terdapat mekanisme untuk menangani isu itu, tambahnya.

“Perang perdagangan AS-China sepatutnya memberi manfaat kepada sektor perabot Malaysia. Terdapat peningkatan dalam pesanan dari kedua-dua negara, tetapi pemain industri tidak mengambilnya kerana kekurangan tenaga kerja. Kami mahu pekerja tempatan tetapi mereka tidak mahu pekerjaan itu,” katanya.

Walaupun kerajaan menggalakkan perniagaan untuk mengupah penduduk tempatan atau melabur dalam automasi, Chua berkata pembuatan perabot tidak dapat diautomatikasikan.

“Setiap proses pengilangan jenama perabot berbeza, kami tidak boleh automasikannya seperti kereta, kami boleh melakukannya dengan tilam tetapi bukan untuk sofa. Kami perlu melatih pekerja untuk melakukan pemotongan. Penyandar, alas lengan dan kusyen mestilah buatan tangan, tidak ada cara untuk mengautomasikannya,” katanya.

Beliau berkata banyak industri lain menghadapi isu yang sama kerana kerajaan mahukan buruh asing yang berada di Malaysia selama 10 tahun untuk kembali ke negara asal mereka.

“Saya mempunyai 100 buruh yang akan balik ke negara asal, manakala 200 yang saya telah memohon belum sedia untuk bekerja, apa yang perlu saya lakukan?” kata Chua.

Sementara itu Presiden Persatuan SME Malaysia Michael Kang berkata, memohon untuk mendaatkan pekerja asing biasanya mengambil masa seminggu untuk mendapat maklum balas jika semua kertas kerja lengkap. Tetapi dalam “situasi luar biasa”, katanya ia boleh mengambil masa sehingga setahun.

Kang berkata syarikat sentiasa berdepan risiko seperti itu apabila memngambil pekerja asing dan langkah kerajaan baharu membanteras orang tengah satu langkah yang bijak.

Beliau menyatakan syarikat bagaimanapun masih perlu melalui orang tengah di negara lain untuk mengambil pekerja dan mencadangkan kerajaan berudning dengan semua industri bagi mendapatkan maklum balas mereka dan menubuhkan jawatankuasa bebas bagi mengendalikan permohonan pengambilan pekerja asing.

“Saya harap apabila kita beralih kepada aplikasi dalam talian untuk buruh asing, kita boleh menjadi cekap seperti Singapura, di mana semua permohonan diproses dalam masa seminggu,” kata Kang.

Kerajaan sentiasa membantu PKS dan industri lain untuk mencapai automasi, termasuk dalam Bajet 2019 baru-baru ini, di mana RM210 juta diperuntukkan untuk 2019 hingga 2021 untuk automasi dan Industri 4.0, dan membantu kira-kira 500 peralihan PKS ke Industri 4.0.Bagaimanapun terdapat industri tertentu yang mudah tidak dapat diautomatikasikan.

Pengerusi Persatuan Pekebun Sayur Malaysia Tan So Siok berkata, industri perladangan memerlukan kira-kira 20,000 pekerja asing dan para petani mendaati sukar untuk memenuhi syarat yang ditetapkan ketika memohon untuk pekerja asing.

“Kerajaan mahu petani menyediakan kemudahan kepada pekerja tetapi kami perlukan mereka tinggal berhampiran ladang untuk menjaga sayur-sayuran.

“Kami sanggup menggaji pekerja tempatan, kita tidak perlu membayar kos untuk pekerja tempatan, tetapi di mana nak cari mereka? Kerajaan mahu kami menggaji pekerja tempatan, saya harap kerajaan akan bantu kami mencari pekerja tempatan untuk bekerja dengan kami,” kata Tan.

Beliau berkata automasi yang lengkap tidak mungkin untuk industri ini kerana terdapat banyak yang menghasilkan keperluan yang perlu dijaga dengan tangan.

“Tanaman seperti cili dan kacang panjang perlu dipilih, bagaimana anda mengautomasikannya? Saya harap kerajaan dapat melihat pasaran buruh dengan lebih dekat dan membantu kita mencari pekerja. Walaupun kebanyakan petani kita adalah perniagaan keluarga, tetapi kita tidak mempunyai tenaga kerja dan memerlukan lebih banyak buruh,” katanya.

Menurut pemain industri, proses permohonan pekerja asing masih mengikuti sistem kerajaan yang terdahulu, tetapi disebabkan oleh dasar pekerja yang tidak jelas kerajaan baru, buruh asing yang diluluskan sebelum ini tidak dapat masuk ke Malaysia untuk bekerja. – 10 November, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen